Meskipun tewas tipis kepada Negeri Sembilan dalam aksi ujian terakhir, ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Nafuzi Zain, menegaskan keputusan bukan fokus utama menjelang kempen Piala Mandiri B-23 ASEAN 2025 yang akan berlangsung di Indonesia.
Bagi pengendali berusia 47 tahun itu, keutamaan diberikan kepada penerapan corak permainan yang berasaskan falsafah “Nafuzi Ball”, yang menekankan penguasaan bola dan corak menyerang teratur.
Skuad 30 pelatih kini berada dalam fasa akhir pemilihan sebelum dikecilkan kepada senarai akhir 23 pemain. Antara kriteria utama yang menjadi pertimbangan Nafuzi ialah kefahaman pemain terhadap falsafah permainannya.
“Falsafah permainan ini memang daripada cara saya sendiri. Mungkin ada sedikit perubahan disebabkan masa yang singkat untuk persiapan. Tapi jika pemain dapat ikut percaturan, itu satu perkara sangat positif untuk saya,” ujar Nafuzi.
Dalam kerjayanya sebagai jurulatih sebelum ini, Nafuzi cukup dikenali menerusi gaya bola sepak moden yang berasaskan kawalan permainan dan serangan sistematik, seperti yang ditonjolkan ketika membimbing Terengganu dan Kedah Darul Aman FC.
Sepanjang persiapan ke kejohanan itu, skuad muda negara mencatatkan dua kemenangan – 1-0 ke atas PDRM dan 4-1 ke atas Melaka – daripada tiga aksi ujian, yang memberi keyakinan kepada jurulatih mengenai tahap kesiapsiagaan pasukan.
Menurut Nafuzi, “Secara keseluruhan, pemain ini ada kualiti. Mereka perlukan masa dan juga pengalaman di tahap lebih tinggi. Perlawanan antarabangsa perlu dipertingkatkan bagi menambah kematangan dan kekuatan fizikal mereka.”
Beliau juga sudah memiliki bayangan awal terhadap kesebelasan utama berdasarkan kefahaman pemain terhadap rancangan taktikalnya selepas melalui tiga aksi pemanas badan tersebut.
Selain itu, aspek kepimpinan dalam pasukan juga turut menjadi perhatian utama Nafuzi. Beliau mengakui dua pemain iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili dan Haqimi Azim Rosli memegang peranan penting dalam menyatukan skuad dari sudut kepimpinan dan pengalaman.
Tidak ketinggalan, bintang muda dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Aysar Hadi Shapri, turut menjadi sandaran utama Nafuzi dalam merencana sistem permainan skuad muda kebangsaan.
“Mereka ini sudah bermain dalam Liga Super dan turut mendapat panggilan skuad kebangsaan. Nama mereka juga lebih menonjol berbanding rakan sepasukan lain dan mereka ada pengalaman memimpin kelab masing-masing,” tambah beliau.
Pasukan Harimau Muda dijangka berlepas ke Indonesia minggu hadapan untuk menghadapi saingan Piala Mandiri B-23 ASEAN 2025 yang bakal menjadi pentas penting buat pembangunan bakat muda negara.