sukan

Kata-kata Aysar Hadi buat rakan sepasukan

Pemain tengah skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Aysar Hadi Mohd Shafri, menyeru rakan sepasukannya agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan dan tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi daripada penyokong tuan rumah pada saingan Piala Mandiri B-23 ASEAN 2025 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia minggu hadapan.

Menurut Aysar, kunci utama kepada kejayaan pasukan adalah persembahan mantap di atas padang bagi memastikan setiap perlawanan memberikan pulangan tiga mata yang amat diperlukan untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

“Kami sedar tekanan yang bakal dihadapi di sana, namun perkara ini tidak seharusnya melemahkan semangat kami untuk terus berjuang demi negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, pemain harus mengutamakan prestasi individu dan kerjasama pasukan tanpa terlalu memikirkan kekuatan pasukan lawan.

“Saya lebih memilih untuk menumpukan perhatian kepada pasukan kita sendiri. Fokus kepada mempersembahkan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pasukan mampu mengawal tekanan daripada penyokong tuan rumah, selain menjelaskan bahawa mereka sudah melakukan persiapan secukupnya.

“Kami telah membuat persiapan dengan teliti, walaupun tempoh latihan agak singkat. Saya percaya keserasian pasukan mampu dibentuk dalam masa yang terhad ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aysar turut menekankan bahawa corak permainan yang diterapkan oleh jurulatih adalah penting bagi memastikan pasukan beraksi dengan lebih tersusun dan berkesan.

“Corak permainan hantaran pendek serta mengelakkan kehilangan bola adalah aspek utama yang ditekankan. Kami perlu bermain dengan penuh disiplin,” jelasnya.

Aysar yang juga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menyuarakan penghargaan terhadap rakan sepasukan yang hadir dalam kem latihan, menyatakan bahawa semua pemain yang dipanggil adalah berkualiti dan memudahkan proses penyesuaian dengan formasi serta arahan jurulatih.

Skuad bimbingan ketua jurulatih Nafuzi Zain telah diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Filipina dan Brunei untuk saingan yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 29 Julai ini di Jakarta.

Malaysia dijadual membuka kempen menentang Filipina pada 15 Julai, sebelum berdepan Brunei pada 18 Julai dan menamatkan aksi kumpulan menentang tuan rumah Indonesia pada 21 Julai. Semua perlawanan bakal berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir yang akan berlangsung pada 25 Julai, sementara aksi penentuan tempat ketiga serta perlawanan akhir pula dijadualkan pada 29 Julai.