Selepas kehilangan dua tonggak pertahanan utama, Selangor kini dijangka akan berdepan satu lagi pengunduran pemain yang bakal meninggalkan skuad Gergasi Merah. Perjalanan Fazly Mazlan bersama juara MFL Challenge Cup 2024/26 itu menemui titik penamat apabila beliau dikatakan akan menjadi pemain terkini yang mengambil keputusan untuk angkat kaki.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lagi pemain iaitu wakil kebangsaan Singapura turut memilih untuk pulang ke tanah airnya. Walaupun kontraknya masih berbaki setahun, pemain berkenaan akan kembali beraksi bersama kelab asalnya, Lion City Sailors, selepas tempoh pinjaman bersama Selangor berakhir bagi menghadapi musim akan datang.
Di samping itu, pemain tengah pasukan, Alex Agyarkwa, yang merupakan antara watak penting di bahagian tengah naib juara Liga Super itu, turut menimbulkan tanda tanya selepas memberi isyarat seolah-olah akan mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi. Spekulasi mengenai perpindahan Agyarkwa semakin kuat diperkatakan selepas kelibat pemain berusia 24 tahun itu tidak kelihatan bersama skuad utama ketika mereka menjalani siri jelajah pramusim di Thailand.
Lebih menguatkan khabar angin itu, perkongsian Agyarkwa sendiri di Instagram baru-baru ini menampakkan seakan satu pengesahan terhadap ura-ura tersebut apabila beliau menulis satu kapsyen pendek berbunyi, “Latihan terakhir bersama rakan-rakan.”
Sebelum ini, media tempatan pernah melaporkan desas-desus yang mengatakan pemain kelahiran Ghana itu bakal menyertai Negeri Sembilan bagi memperkuatkan pasukan tersebut. Berdasarkan maklumat di laman transfermarkt, kontraknya bersama Selangor dipercayai telah berakhir sekitar Mei lalu.
Sebagai rekod, Alex Agyarkwa mula menyertai Selangor pada tahun 2021 dan sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya mencatatkan 64 penampilan serta merekodkan 11 bantuan gol walaupun terpaksa berdepan cabaran akibat masalah kecederaan pada musim lalu.
Kini, para penyokong Selangor pastinya ternanti-nanti sama ada khabar pemergian pemain tengah berbakat ini akan menjadi kenyataan atau sebaliknya.