sukan

Naturalisasi Harimau Malaya pernah kongsi kenyataan dengan FIFA

 “Saya telah menetap serta beraksi di bumi Malaysia hampir lapan tahun lamanya. Setiap kali panggilan diterima, perasaan saya bagai mimpi yang benar-benar menjadi nyata.”

Impian untuk melihat skuad negara menjejakkan kaki ke pentas Piala Dunia terus menjadi harapan besar, meskipun perjalanan ke arah itu menuntut kesabaran yang panjang.

Keputusan cemerlang Harimau Malaya dalam saingan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menewaskan Vietnam dan Nepal, sekali gus meletakkan skuad kebangsaan di tangga teratas kumpulan, membuka lembaran baharu kepada revolusi pasukan negara.

Cerita mengenai bekas penyerang Sri Pahang, Sergio Aguero, kembali menjadi bualan apabila perkongsiannya bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tular seiring dengan prestasi semasa Harimau Malaya yang menggabungkan kekuatan tempatan dan elemen warisan demi menggapai impian ke pentas Asia dan dunia.

Menurut Aguero, yang kini bersama kelab Thailand, Kanchanaburi Power, pengalamannya beraksi di beberapa negara banyak membantu mematangkan kariernya.

“Saya menikmati pengalaman bermain di Argentina, Itali, Hungary serta Malaysia.

“Dengan apa yang saya lalui, saya berharap suatu masa kelak saya dapat menabur bakti membantu negara ini memajukan lagi bola sepaknya,” ujarnya penuh keyakinan.

Aguero yang kini berusia 31 tahun tetap optimis dengan masa depan cerah Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski. Beliau percaya setiap perubahan yang dilaksanakan bakal membawa impak positif.

Selain terus memburu kejayaan peribadi, Aguero juga menanam hasrat jangka panjang untuk membantu bola sepak Malaysia mendaki ranking FIFA dan mencipta sejarah baharu.

“Hasrat terbesar saya adalah menyaksikan Malaysia menjuarai Piala Asia serta layak beraksi di Piala Dunia.

“Itulah impian saya yang ingin saya capai bersama Malaysia,” katanya lagi.

Bagi Aguero, Malaysia bukan sekadar destinasi bermain bola sepak tetapi medan menggapai cita-cita lebih besar. Dedikasi dan pengalamannya di benua Eropah dan Amerika Selatan menjadi aset penting dalam usaha membantu skuad Harimau Malaya merealisasikan impian besar itu.

Kejayaan menundukkan Vietnam serta Nepal menjadi bukti bahawa gabungan pemain tempatan dan warisan luar negara mampu menghasilkan pasukan berdaya saing.

Dengan semangat yang dipamerkan barisan pemain dan sokongan padu penyokong, harapan ke Piala Dunia bukan lagi omong kosong, sebaliknya satu perancangan yang menuntut usaha berterusan.

Sergio Aguero, walau bukan lagi bersama kelab Liga Malaysia, tetap menzahirkan minatnya untuk menyumbang sesuatu kepada bola sepak tanah air.

Dalam usia yang masih mampu memberi sumbangan di padang, Aguero percaya pembaharuan dalam pasukan akan membuka jalan untuk Malaysia berdiri sebaris negara bola sepak Asia yang lain.

Aguero berharap kejayaan yang dicapai akan menjadi pembakar semangat generasi baharu untuk terus memacu Harimau Malaya ke peringkat tertinggi.

Bagi beliau, Malaysia mempunyai segala potensi untuk mencipta nama di pentas dunia. Usaha dan pengorbanan pemain, pengurusan profesional serta sokongan rakyat menjadi kunci kejayaan misi besar ini.

Keyakinan Aguero lahir daripada kecintaannya terhadap bola sepak Malaysia yang sudah sebati dengannya sejak hampir sedekad lalu. Dengan pengalaman berharga, beliau mahu terus berada di samping Harimau Malaya sebagai sumber inspirasi generasi seterusnya.