sukan

Harimau Malaya juga akan turut terima tempias

Kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat sebagai penanda aras kepada kehebatan skuad kebangsaan Harimau Malaya. Gergasi bola sepak tempatan itu terus mengukuhkan barisan pemain apabila berjaya mendapatkan beberapa pemain berdarah kacukan bagi menghadapi musim 2025/26.

Dalam tempoh beberapa musim kebelakangan ini, JDT konsisten merekrut pemain berdarah kacukan. Untuk musim baharu, skuad kendalian Xisco Munoz sah mengikat empat lagi tenaga baharu yang mempunyai latar belakang warisan Malaysia.

Antara nama yang menjadi perhatian ialah Hector Hevel, Jon Irazabal serta Joao Figueiredo. Ketiga-tiga pemain ini bukan sekadar nama di atas kertas, malah telah pun beraksi bersama Harimau Malaya dalam pusingan Kelayakan Piala Asia 2027, termasuk menentang pasukan Nepal dan Vietnam.

Selain itu, kelab tersebut turut memperkenalkan pemain tengah Sporting Gijon, Nacho Mendez, yang disahkan sebagai pemain warisan Malaysia. Kehadiran Mendez menambah kekuatan JDT yang sedia ampuh di pentas bola sepak tanah air.

Menurut Mohd Fauzi Pilus, seorang pemerhati bola tempatan, kehadiran pemain kacukan ini membawa sinar baharu buat kelab dan skuad kebangsaan. Dengan reputasi JDT sebagai pasukan terunggul dalam Liga Malaysia, suntikan pemain baharu ini diyakini mampu menambah kualiti permainan.

“Ramai pemain kebangsaan telah bersama JDT sebelum ini, dan kemasukan muka baharu meningkatkan lagi kekuatan mereka. Ini memberikan kelebihan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi seperti Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).

“JDT memang berada di tahap tersendiri. Apabila mereka semakin kuat, Harimau Malaya juga akan turut menerima impak positif,” jelas Fauzi.

Beliau juga berpandangan situasi ini memudahkan tugas barisan kejurulatihan skuad kebangsaan. Diketuai Peter Cklamovski, pasukan kebangsaan boleh membuat pemilihan pemain dengan lebih efisien kerana kebanyakan pemain berkualiti berada di liga tempatan.

“Ini memudahkan proses menghimpunkan pemain terbaik kerana mereka bermain di liga negara sendiri,” ujar beliau lagi.