Misi pasukan Harimau Malaya untuk menempatkan diri dalam kelompok 120 pasukan terbaik dunia kini semakin mendekati sasaran selepas skuad negara berjaya melonjak enam anak tangga ke kedudukan ke-125 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Kedudukan terbaharu itu merupakan yang terbaik dicapai Harimau Malaya dalam tempoh hampir dua dekad apabila kali terakhir berada di ranking ke-125 adalah pada Februari 2006.
Perkara tersebut diumumkan menerusi hantaran di media sosial rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari ini, sekaligus menjadi perkongsian yang menggembirakan buat seluruh peminat bola sepak tanah air.
Keputusan memberangsangkan ini dipacu oleh kemenangan bergaya skuad negara dengan jaringan 4-0 ke atas Vietnam dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan lalu.
Berdasarkan kemas kini terkini, pasukan di bawah kendalian Peter Cklamovski berjaya menambah sebanyak 14.91 mata, menjadikan kutipan keseluruhan mata FIFA mereka kini mencecah 1138.48.
Pencapaian positif tersebut tentunya menjadi tonik semangat buat Harimau Malaya yang akan berdepan kempen Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025, dijadualkan bermula hujung bulan depan.
Kejayaan mendaki enam anak tangga juga menjadikan Malaysia sebagai pasukan yang mencatatkan peningkatan tertinggi di Asia, bersama Hong Kong yang turut merekodkan kenaikan enam anak tangga untuk menduduki ranking ke-147 dunia.
Dalam pada itu, seteru tradisi Malaysia, Indonesia turut mencatat peningkatan apabila naik lima anak tangga ke tangga ke-118 dunia.
Thailand pula berdepan nasib sebaliknya apabila jatuh tiga anak tangga ke kedudukan ke-102, manakala Vietnam pula turun empat anak tangga ke tangga ke-113.
Dengan momentum semasa, diharapkan Harimau Malaya dapat mengekalkan prestasi cemerlang ini untuk terus mengukuhkan kedudukan di ranking FIFA dan mencapai matlamat menembusi kelompok 120 terbaik dunia dalam masa terdekat.