sukan

Reaksi pasukan Liga malaysia selepas MFL buat U-Turn

Pasukan-pasukan Liga Super menyambut baik tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang telah memutuskan untuk mengurangkan bilangan pemain import di atas padang. Keputusan ini dianggap sebagai ruang terbaik untuk pemain tempatan mempamerkan kemampuan sebenar mereka seterusnya meningkatkan daya saing Liga Malaysia (Liga M).

Hasil keputusan yang diumumkan melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-14 itu, Manual Liga Malaysia musim 2025/26 telah dipinda dengan penetapan kuota pemain asing di atas padang hanya enam pemain berbanding tujuh sebelum ini. Langkah ini sekali gus membuka lembaran baharu kepada pemain tempatan untuk membuktikan keupayaan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus turut menyuarakan keyakinannya bahawa pengurangan kuota pemain import merupakan pendekatan strategik bagi mewujudkan keseimbangan antara mengekalkan persaingan di dalam liga dan pada masa sama membuka peluang pembangunan bakat tempatan.

Faliq menegaskan peluang ini tidak wajar dipersiakan begitu sahaja. Beliau mahu pemain tempatan bangkit membuktikan kualiti sebenar mereka dan tidak hanya sekadar melengkapkan senarai pemain. Baginya, pemain tempatan harus mampu berdiri sama tinggi dengan pemain import dan beraksi atas merit.

“Kami di Negeri Sembilan FC amat berpegang kepada prinsip untuk menilai pemain berdasarkan mentaliti dan kemampuan mereka. Sekiranya pemain tempatan mampu bersaing, maka merekalah yang wajar mengisi posisi utama. Bukannya kerana slot itu ada, maka mereka hanya datang mengisi kekosongan tanpa usaha.

“Pindaan ini sebenarnya membuka ruang yang sangat luas. Pemain tempatan kini mempunyai peluang untuk bermain lebih banyak minit perlawanan dan mengumpul pengalaman bertanding di pentas tertinggi. Ini secara langsung akan mematangkan corak permainan mereka,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pihak MFL dilihat sentiasa peka dengan perkembangan di peringkat serantau. Banyak liga di Asia juga sedang melaksanakan perubahan berkaitan bilangan pemain import bagi meningkatkan tahap kompetitif liga masing-masing. Justeru, keputusan MFL ini adalah selari dengan trend semasa.

Di pihak Terengganu FC (TFC), pengurus pasukan Shahrizan Mohd Zain menyifatkan langkah pengurangan slot import ini selari dengan perancangan kelab yang memberi tumpuan kepada pembangunan pemain tempatan, khususnya bakat muda.

Menurut pindaan terbaru yang diumumkan, kuota pemain asing di atas padang ditetapkan seramai 6+3 pemain simpanan dengan susunan 4 Terbuka, 1 Asia dan 1 ASEAN. Sebelum ini, komposisi yang diguna pakai adalah 7+2 dengan pecahan 4 Terbuka, 1 Asia dan 2 ASEAN.

Shahrizan menegaskan, dengan ruang yang dibuka ini, pemain tempatan seharusnya tidak mensia-siakan peluang. Tambahan pula, TFC telah merangka perancangan yang rapi agar keseimbangan antara pemain import dan tempatan dapat dikekalkan.

Beliau mendedahkan TFC sudah mengikat empat pemain import baharu iaitu Junior Ngong Sam dari Cameroon, Yan Mabella dari Perancis, serta dua pemain dari Brazil iaitu Gabriel Costa dan Raianderson da Costa Morais. Nurillo Tukhtasinov dari Uzbekistan juga dikekalkan untuk memperkuatkan pasukan.

“Jumlah semasa adalah enam pemain import, masih dalam had yang ditetapkan MFL. Seorang lagi akan diumumkan kemudian bagi melengkapkan kuota. Dengan kombinasi ini, kami yakin pemain tempatan akan lebih bersedia untuk merebut peluang dan bersaing di tahap terbaik,” katanya lagi.

Keseluruhannya, pengurangan slot import ini diharap mampu melonjakkan Liga M ke tahap lebih tinggi dengan peningkatan kualiti permainan dan keupayaan pemain tempatan yang mendapat ruang beraksi secara konsisten.

Recent Posts