sukan

Messi terus cipta sejarah baharu

LIONEL Messi terus mengekalkan statusnya sebagai pemain paling berpengaruh di pentas Liga Bola Sepak Utama (Major League Soccer, MLS) apabila mencipta satu lagi sejarah baharu. Bintang Argentina berusia 38 tahun itu mencatat nama sebagai pemain pertama dalam rekod liga tersebut yang berjaya menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan berturut-turut. Aksi terbaharunya membantu Inter Miami mengalahkan New England Revolution dengan keputusan 2-1 di Stadium Gillette, Foxborough.

Perlawanan yang dihadiri oleh 43,293 penyokong itu menjadi saksi kehebatan Messi apabila beliau meledakkan dua gol pada separuh masa pertama. Dengan tambahan dua gol tersebut, Messi kini sudah mengumpul 14 gol dalam 15 penampilan musim ini bersama Miami. Rentetan aksi cemerlang ini bermula sejak Mei lalu apabila beliau menjaringkan dua gol ketika Miami menundukkan Montreal 4-2 sebelum meneruskan rentak sama menewaskan Columbus 5-1.

Dalam tempoh tersebut, Messi turut beraksi bersama Miami dalam kempen Piala Dunia Kelab yang menyaksikan kelab itu tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG) di pusingan 16 terakhir. Bagaimanapun, di kejohanan berprestij itu, Messi hanya sempat menambah satu gol dalam empat perlawanan.

Selepas kembali ke saingan liga, Messi terus membuktikan kelasnya apabila menyumbang dua gol lagi dalam kemenangan 4-1 Miami ke atas Montreal minggu lalu. Menurut pengendali Inter Miami, Javier Mascherano, kehadiran Messi dalam pasukan memberi impak yang sangat besar bukan sahaja dari segi prestasi tetapi juga keyakinan seluruh skuad.

“Leo sentiasa luar biasa. Bagi saya, dia tetap pemain terhebat sepanjang sejarah bola sepak. Apa yang dilakukan sekarang benar-benar menakjubkan. Tidak ramai menyangka dia masih mampu berada di tahap ini. Kami semua sangat beruntung kerana dapat bekerjasama dengannya,” kata Mascherano penuh kagum.

Dalam perlawanan menentang New England Revolution, Messi membuka tirai jaringan pada minit ke-27 sebelum menggandakan kelebihan pada minit ke-38 hasil sentuhan klinikal selepas menerima hantaran Sergio Busquets. Walaupun Carles Gil berjaya merapatkan jurang jaringan untuk tuan rumah pada minit ke-79, Inter Miami tetap berdisiplin mempertahankan kedudukan untuk memastikan kemenangan dan membawa pulang tiga mata berharga. Hasil kemenangan ini, Inter Miami kini naik ke tangga kelima liga.

Sejak menyertai liga bola sepak Amerika Syarikat, Messi terus menambah rekod peribadi. Selain mencatat empat perlawanan berturut-turut dengan dua gol, beliau turut memegang rekod MLS untuk bantuan gol terbanyak dalam satu perlawanan, iaitu lima bantuan gol. Rekod itu dicapai ketika Miami menewaskan New York Red Bulls dengan jaringan 6-2 pada Mei lalu. Dalam perlawanan sama, Messi juga mencatat sumbangan jaringan terbanyak dalam satu perlawanan dengan jumlah keseluruhan enam sumbangan.

Messi kini diiktiraf sebagai pemain dengan jumlah sumbangan gol terbanyak dalam sejarah kelab Miami dengan 58 sumbangan gol. Kejayaan demi kejayaan ini membuktikan bahawa bintang bola sepak dunia itu masih mempunyai magis yang sukar ditandingi meskipun usia kian meningkat.