Selepas melalui lebih setengah tahun berdepan isu kontrak, pasangan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, akhirnya memutuskan untuk terus setia bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang memaklumkan kedua-dua pemain itu sudah menandatangani kontrak baharu yang memastikan mereka kekal bersama badan induk badminton negara sehingga tahun 2028.
Menurut Zafrul, persetujuan yang dicapai ini diharapkan dapat memulihkan sepenuhnya fokus Pearly-Thinaah terhadap saingan di gelanggang, khususnya menjelang kejohanan Terbuka Jepun yang dijadual berlangsung minggu hadapan.
Dalam pada itu, Zafrul menjelaskan bahawa kandungan kontrak tersebut tidak akan didedahkan kepada umum atas faktor kerahsiaan dan menghormati privasi kedua-dua atlet berkenaan.
“Syukur Alhamdulillah saya ingin memaklumkan bahawa BAM bersama pasangan beregu wanita negara Pearly-Thinaah telah mencapai kata putus berkenaan kontrak baharu mereka. Segala perbincangan dilakukan dengan mengambil kira kepentingan badminton Malaysia pada masa depan.
“Namun terma-terma perjanjian tersebut adalah sulit dan kita tidak akan berkongsi kepada umum, sama seperti kontrak atlet lain sebelum ini. Kita mahu terus menghormati kedua-dua pemain serta pasukan,” ujar beliau ketika bercakap pada sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Terdahulu, timbul desas-desus yang mendakwa Pearly dan Thinaah meletakkan syarat bayaran sehingga RM1 juta seorang setiap tahun sebagai nilai untuk terus kekal mewakili BAM di ABM.
Selepas isu yang berlarutan ini selesai, beregu wanita yang kini menduduki ranking ketiga dunia itu akan memulakan cabaran di tiga kejohanan utama, bermula dengan Terbuka Jepun pada 15 hingga 20 Julai, diikuti Terbuka China dari 22 hingga 27 Julai serta Kejohanan Dunia pada 25 hingga 31 Ogos depan.
Dalam pada itu, Thinaah turut meluahkan rasa lega apabila perkara membabitkan kontrak tersebut akhirnya menemui jalan penyelesaian. Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada BAM kerana memahami situasi yang dihadapi mereka.
“Tiada siapa yang bersalah dalam hal ini kerana jadual kejohanan kami berdua memang sangat padat. Kami bersyukur semuanya kini sudah selesai dan kami boleh kembali fokus kepada perlawanan akan datang,” katanya.
Untuk rekod, Pearly dan Thinaah bermain tanpa sebarang kontrak rasmi lebih enam bulan selepas kontrak lama mereka tamat pada Disember tahun lalu. Keadaan itu menimbulkan tanda tanya mengenai komitmen mereka terhadap BAM, namun kini segala persoalan tersebut telah terjawab dengan perjanjian baharu ini.