Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dilaporkan bakal menawarkan pakej bayaran mencecah RM1 juta setahun kepada beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah, nyata disambut dengan penuh rasa syukur dan penghargaan oleh peminat sukan tanah air. Rata-rata warganet di media sosial, khususnya di ruangan komen Facebook BH Online, memuji tindakan tersebut sebagai langkah yang tepat pada masanya untuk menghargai jasa besar pasangan beregu nombor tiga dunia itu.
Ramai yang melihat penghargaan ini bukan sekadar ganjaran kewangan semata-mata, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat Pearly-Thinaah untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang mereka di pentas antarabangsa. Dalam kalangan komen yang ditinggalkan, Ismail Ahmad misalnya menulis, “Depa memang layak dapat pun dengan usaha keras berlatih bersungguh-sungguh sehingga bergelar juara di beberapa pertandingan… Tahniah.” Luahan itu seakan mewakili suara ramai yang melihat kesungguhan atlet wanita negara ini sewajarnya dibalas dengan ganjaran setimpal.
Selain itu, komen daripada Chris OphEr pula berbunyi, “Wajarlah untuk mereka yang tak pernah mengenal erti penat dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik… tahniah.” Sokongan sebegini jelas menunjukkan rakyat Malaysia amat menghargai kerja keras Pearly-Thinaah yang sanggup berkorban masa muda demi mengharumkan nama Malaysia di kejohanan bertaraf dunia.
Turut menarik perhatian ialah komen Tok Serama yang menekankan pengorbanan beregu ini sejak kecil, “Dari usia kanak-kanak hingga remaja korbankan zamannya bersama sukan badminton jerih penat lelah hingga berjaya ke tahap ini, bukan perkara mudah minat, usaha, semangat, baru tempa kejayaan, memang patut sangat. Syabas Pearly dan Thinaah.”
Nada sama dikongsi Md Zamri Abdah yang menegaskan bahawa Pearly-Thinaah memang berhak menerima pakej bayaran tersebut berdasarkan prestasi semasa. “Memang mereka layak pun… berdasarkan kepada prestasi mereka… so, jadikan sebagai satu motivasi untuk mereka dan kepada junior-junior yang lain,” katanya.
Peminat sukan juga meletakkan harapan tinggi agar pemberian pakej lumayan ini dapat mengekalkan fokus Pearly-Thinaah menjelang kejohanan besar seperti Sukan Olimpik Los Angeles 2028. Masing-masing mahu melihat gandingan mantap ini terus membawa pulang kejuaraan demi kejuaraan untuk Malaysia.
Dilaporkan sebelum ini, Pearly-Thinaah telah bersetuju untuk menandatangani kontrak baharu bersama BAM selepas beberapa siri perbincangan yang berlarutan sejak awal tahun ini. Dengan perjanjian baharu ini, difahamkan setiap pemain akan menerima sekurang-kurangnya RM1 juta setahun sebagai balasan kepada dedikasi dan komitmen mereka kepada negara.
Langkah BAM itu juga sekaligus menamatkan spekulasi masa depan beregu ini yang sebelum ini dikhabarkan mungkin bakal meninggalkan skuad kebangsaan. Dengan kepastian kontrak baharu ini, diharapkan Pearly dan Thinaah dapat terus beraksi dengan lebih tenang dan memberi sepenuh tumpuan kepada latihan serta pertandingan mendatang.
Kejayaan Pearly-Thinaah bukan sahaja milik mereka berdua tetapi turut menjadi simbol harapan buat atlet muda lain untuk terus gigih berusaha. Harapan peminat, langkah BAM ini dapat dijadikan contoh bahawa setiap pengorbanan dan kerja keras pasti berbaloi sekiranya diiringi dengan semangat tidak putus asa.