Kira-kira sebulan sahaja lagi sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-2026, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat keputusan yang mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan pengurangan kuota pemain import di atas padang. Badan pengelola utama Liga M itu telah mengesahkan bahawa jumlah pemain asing yang dibenarkan beraksi dalam satu-satu masa dikurangkan daripada tujuh orang kepada enam orang pemain. Keputusan tersebut diumumkan hasil daripada perbincangan dan pertimbangan semula oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL yang ke-14 untuk penggal 2021-2025.
Mesyuarat berkenaan mengambil kira pelbagai sudut termasuk kesan keputusan tersebut kepada Liga M secara keseluruhan selain memikirkan mengenai perkembangan pemain tempatan yang juga harus diberi ruang. Menurut kenyataan rasmi MFL, pindaan terbaharu itu menetapkan bahawa kuota pemain asing di atas padang kini hanya enam orang pemain manakala tiga lagi boleh berada di bangku simpanan. Komposisi baharu tersebut merangkumi empat pemain terbuka, seorang pemain dari benua Asia dan seorang lagi pemain ASEAN.
Perubahan ini jelas berbeza dengan ketetapan sebelumnya yang mana pasukan dibenarkan menggunakan tujuh orang pemain asing di atas padang serta dua pemain lagi di bangku simpanan dengan komposisi empat pemain terbuka, seorang pemain Asia dan dua pemain ASEAN. Dalam kenyataan lanjut, MFL menjelaskan bahawa pengurangan kuota seorang pemain import ini diyakini dapat mewujudkan keseimbangan lebih baik antara pemain tempatan dan pemain luar dalam kesebelasan utama setiap pasukan pada hari perlawanan.
MFL tetap optimis bahawa kehadiran pemain import mampu meningkatkan kualiti saingan Liga M serta menjadikan liga lebih menarik untuk tontonan peminat bola sepak tanah air. Namun begitu, pada masa yang sama MFL menekankan bahawa pembangunan pemain tempatan masih menjadi agenda keutamaan pihak mereka. Langkah ini juga dilihat mampu membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha memperkukuhkan skuad kebangsaan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Dalam masa sama, pendapat dan pandangan kelab-kelab Liga M turut diambil kira sebelum keputusan muktamad dibuat. Menurut MFL, sebahagian kelab berpandangan bahawa penambahan pemain ASEAN yang ramai tidak memberikan impak yang besar terhadap peningkatan mutu permainan pasukan.
Sementara itu, MFL turut menjelaskan bahawa walaupun kuota pemain asing di atas padang dikurangkan, jumlah keseluruhan pemain import yang boleh didaftarkan setiap kelab kekal pada bilangan maksimum iaitu 15 orang pemain. Bagaimanapun, setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota tersebut sepenuhnya. Sebaliknya, ia bergantung sepenuhnya kepada keperluan pasukan masing-masing serta kemampuan kewangan mereka.
MFL juga mengingatkan bahawa setiap kelab akan tertakluk kepada pemantauan melalui pelaksanaan ‘Financial Fair Play’ atau FFP. Melalui mekanisme ini, gaji siling atau ‘salary cap’ akan dikuatkuasakan di mana hanya 80 peratus daripada jumlah perbelanjaan kelab dibenarkan digunakan untuk gaji pemain. Langkah ini diambil bagi memastikan pengurusan kewangan kelab berada dalam keadaan terkawal serta dapat menjamin kelestarian kewangan pasukan pada musim-musim mendatang.
Keputusan MFL ini pastinya akan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air yang sentiasa mengikuti perkembangan Liga M. Ramai yang berpendapat keputusan ini mungkin memberi lebih ruang kepada bakat tempatan untuk menyerlah dalam skuad utama kelab masing-masing. Dalam masa sama, kehadiran pemain import yang berkualiti masih diharap dapat meningkatkan tahap saingan Liga M agar setanding dengan liga-liga lain di rantau ini.
Kini, dengan hanya tinggal beberapa minggu sebelum tirai musim baharu dibuka, semua kelab dijangka akan menilai semula perancangan skuad masing-masing termasuk strategi pembelian pemain import. Sama ada langkah ini mampu melonjakkan kualiti bola sepak tempatan atau sebaliknya, hanya masa akan menentukan segalanya.