sukan

Mendez sah rakyat Malaysia

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini sah memiliki pemain tengah dari Sporting Gijon, Nacho Mendez, selepas pengumuman rasmi dilakukan kelab itu di Facebook JOHOR Southern Tigers baru-baru ini. Dengan pengumuman tersebut, segala teka-teki mengenai hala tuju pemain berusia 27 tahun itu akhirnya terjawab.

Status terkini yang dimuat naik di laman media sosial rasmi kelab berkenaan ternyata menarik perhatian ramai apabila menyatakan Mendez sebagai pemain warisan Malaysia. Tindakan itu sekali gus menguatkan lagi andaian bahawa bintang kelahiran Sepanyol tersebut telah berjaya mendapat status kewarganegaraan Malaysia untuk memperkukuhkan Harimau Selatan.

“Pemain warisan Malaysia, Nacho Mendez menyertai Johor Darul Ta’zim FC,” demikian catatan ringkas kelab tersebut, disertai gambar Mendez lengkap dengan jersi bernombor 28, menandakan permulaan baharu bersama skuad juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu.

Sehari sebelum pengesahan rasmi dibuat, suasana bola sepak tempatan hangat dipenuhi spekulasi tentang penyertaan Mendez. Media Sukan sebelum ini telah melaporkan nama Mendez semakin menjadi sebutan peminat tanah air apabila timbul dakwaan bahawa beliau bakal menjadi tambahan terbaru dalam barisan pemain warisan untuk skuad kebangsaan.

Khabar angin itu semakin kencang apabila beberapa sumber mendakwa pemain yang berasal dari Sepanyol itu sudah melalui fasa akhir proses mendapatkan kewarganegaraan Malaysia, sesuatu yang cukup diidamkan oleh penyokong setia Harimau Malaya.

Menariknya, sebelum gelombang spekulasi itu tersebar luas di Malaysia, media Sepanyol terlebih dahulu melaporkan bahawa Mendez sedang merencana langkah untuk ke JDT. Akhbar El Comercio, dalam laporan bertarikh 19 Jun lalu, menyebut pemain tersebut telah menandatangani kontrak selama tiga musim bersama pasukan Harimau Selatan, sekaligus menguatkan lagi spekulasi perpindahan.

Dengan penyertaan Mendez, JDT kini menambah seorang lagi pemain bertaraf warisan ke dalam skuad bagi musim 2025-2026. Sebelum ini, kelab berkenaan telah membawa masuk Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang juga memiliki status pemain warisan. Langkah ini dilihat sebahagian daripada perancangan besar JDT untuk memastikan keunggulan mereka di pentas Liga Super terus dikekalkan.

Ramai pemerhati sukan tempatan melihat tindakan ini sebagai strategi berani oleh JDT bagi mengekalkan dominasi mereka dalam bola sepak Malaysia. Dengan penambahan pemain bertaraf antarabangsa yang memperoleh status warisan, JDT bukan sahaja memperkukuh skuad, malah membuka lebih banyak peluang taktikal kepada barisan kejurulatihan.

Peminat JDT juga dilihat menyambut baik perkhabaran ini, dengan ribuan komen serta perkongsian di media sosial yang rata-rata menunjukkan keterujaan. Mereka yakin kehadiran Mendez akan menambahkan kekuatan di bahagian tengah yang menjadi kunci penting dalam strategi perlawanan.

Sebagai rekod, Mendez sebelum ini beraksi bersama Sporting Gijon, salah satu kelab terkenal di Sepanyol. Pengalaman bermain di liga Eropah pastinya akan memberikan nilai tambah yang berharga kepada skuad JDT yang sentiasa dahagakan kejuaraan.

Dengan musim baharu yang bakal bermula, ramai pihak menjangkakan pemain berusia 27 tahun itu akan segera menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak tempatan dan mampu memberikan impak yang diharapkan. Lebih-lebih lagi dengan statusnya sebagai pemain warisan, Mendez juga berpotensi untuk mengisi kekosongan dalam skuad kebangsaan, sekiranya mendapat lampu hijau dari pihak berkaitan.

Perjalanan Mendez bersama Harimau Selatan pastinya dinanti-nantikan seluruh penyokong bola sepak tanah air. Sama-sama kita saksikan bagaimana gandingan baharu ini akan mempengaruhi prestasi JDT pada musim mendatang.

Recent Posts