sukan

Situasi Holgado membimbangkan

STATUS penyerang warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, sekali lagi menjadi persoalan selepas namanya tidak kelihatan dalam skuad America de Cali ketika aksi persahabatan Siri Colombia menentang Deportivo Pereira awal pagi semalam.

Kelibat pemain berusia 30 tahun itu langsung tidak kelihatan, malah Holgado bukan sahaja tidak diturunkan, malah tidak berada di bangku simpanan sepanjang perlawanan tersebut. Pasukan gergasi bola sepak Colombia itu tewas tipis dengan keputusan 1-2 di tangan Deportivo Pereira.

Tindakan jurulatih baharu America de Cali, Diego Raimondi, yang memilih untuk mengetepikan Holgado menimbulkan pelbagai spekulasi, sama ada perancangannya tidak memerlukan khidmat penyerang Harimau Malaya itu atau ada sebab lain yang menghalang kehadirannya di padang.

Sumber media tempatan Colombia memaklumkan Holgado sebenarnya mengalami kecederaan yang membuatkan pasukan kejurulatihan mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak memburukkan lagi keadaannya menjelang aksi pembukaan liga menentang Llaneros FC pada 12 Julai nanti.

“Rodrigo Holgado tidak dapat bersama pasukan disebabkan kecederaan hamstring yang dialaminya. Namun begitu, dia dijangka kembali berlatih bersama rakan sepasukan esok (hari ini),” demikian penjelasan wartawan Nany Florez menerusi perkongsian di platform X.

Desas-desus mengenai masa depan Holgado terus bertiup kencang apabila sebelum ini muncul khabar angin bahawa penyerang itu bakal berhijrah ke kelab Millonarios FC, salah satu pasukan berprofil tinggi di Colombia. Difahamkan Millonarios FC menunjukkan minat serius untuk membawa Holgado dalam jendela perpindahan semasa ini.

Selain Millonarios FC, nama Holgado juga disebut-sebut bakal pulang ke Argentina dengan kelab Gimnasia La Plata dilaporkan bersedia membuka rundingan untuk membawa pulang anak jati mereka itu. Malah, kontrak Holgado bersama America de Cali dikhabarkan akan berakhir tahun depan, sekali gus membuka lebih banyak ruang spekulasi perpindahan.

Bagaimanapun, Holgado sendiri pernah menegaskan keputusannya untuk terus menghormati kontraknya bersama skuad El Rojo musim ini. Malah, beliau juga berjaya meledak tujuh gol setakat ini untuk pasukan berkenaan, membuktikan keupayaannya masih relevan di pentas bola sepak Colombia.

Keputusan Holgado itu nyata memberi kelegaan kepada penyokong Harimau Malaya yang mahu melihat pemain tersebut terus mengasah bakat di liga luar negara, berbanding pulang ke tanah air lebih awal. Kehadirannya di liga kompetitif di rantau Amerika Selatan diharap dapat meningkatkan lagi mutu permainannya, seterusnya membawa manfaat kepada skuad kebangsaan.

Dengan baki saingan yang masih panjang, peminat setia Harimau Malaya hanya mampu berharap Holgado bebas daripada sebarang kecederaan serius. Ini penting supaya beliau dapat terus mempamerkan prestasi terbaik dan mengekalkan reputasi sebagai penyerang import yang berpotensi mengharumkan nama Malaysia di arena bola sepak antarabangsa.