sukan

Rupanya JDT dah buat kerja awal, ikat tiga tahun

Segala teka-teki mengenai Nacho Mendez yang sebelum ini dikaitkan sebagai calon pemain warisan Harimau Malaya kini sudah pun terjawab selepas laporan dari Sepanyol mengesahkan beliau sah bergelar pemain Johor Darul Ta’zim (JDT). Akhbar ternama Sepanyol, El Comercio, mendedahkan bahawa pemain yang pernah menjadi tonggak utama Sporting Gijon itu sudah pun memeterai kontrak selama tiga tahun dengan kelab gergasi Liga Super tersebut.

Difahamkan, Mendez turut menerima beberapa tawaran lain daripada pasukan yang beraksi dalam Segunda División, termasuk daripada Levante. Namun begitu, tawaran-tawaran tersebut dilaporkan tidak cukup meyakinkan untuk membuatkan beliau menolak peluang yang ditawarkan JDT. Pemain berusia 27 tahun itu tidak mahu membiarkan masa depannya tergantung tanpa kepastian, lalu memilih untuk menandatangani kontrak bersama skuad Harimau Selatan.

Langkah Mendez berhijrah ke Malaysia ini juga membuka jalan kepadanya untuk menjadi pemain warisan skuad Harimau Malaya. Menurut sumber terdekat, Mendez kini sedang dalam proses terakhir untuk memperoleh status kerakyatan Malaysia, sekaligus membolehkan beliau menyertai skuad negara menghadapi Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang dijadualkan bermula Ogos nanti.

Walau bagaimanapun, pada peringkat awalnya, Mendez dikatakan agak berat hati untuk menerima tawaran JDT. Beberapa perkara menjadi kebimbangan beliau, antaranya perubahan dari segi budaya, suasana permainan serta cara hidup di Malaysia yang jauh berbeza dengan Sepanyol. Namun, faktor inilah yang akhirnya berjaya ditangani menerusi peranan penting Kiko Insa.

Kiko Insa memainkan watak utama dalam usaha memujuk Mendez agar tidak menolak projek besar JDT. Beliau menekankan bahawa Asia kini semakin pesat membangun dalam arena bola sepak dengan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang semakin kompetitif. Mendez turut diberi keyakinan bahawa beliau berpeluang beraksi dalam pentas seperti ACL Elite dan kejohanan berprestij lain termasuk Piala Shopee.

Kiko turut berkongsi mengenai kekuatan infrastruktur JDT serta sokongan padu daripada ribuan penyokong yang menjadikan kelab tersebut antara yang terunggul di Asia Tenggara. Perancangan jangka panjang JDT untuk kekal dominan di pentas tempatan dan benua Asia menjadi faktor utama yang meyakinkan Mendez.

Jika semuanya berjalan mengikut rancangan, kehadiran Mendez dilihat sebagai langkah strategik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama JDT untuk terus memantapkan skuad kebangsaan. Kehadiran pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di Eropah diharap dapat meningkatkan daya saing Harimau Malaya.

Ramai pemerhati sukan melihat kehadiran Mendez bukan sahaja memperkukuh jentera tengah JDT tetapi juga membuka ruang kepada pemain tempatan untuk berguru dan beraksi bersama pemain berkaliber antarabangsa. Kehadiran beliau pastinya mencetuskan aura baharu dalam kalangan penyokong yang setia menyokong perjuangan Harimau Selatan.

Kini, tumpuan peminat bola sepak tempatan terarah kepada perkembangan seterusnya, khususnya mengenai kelulusan kerakyatan yang bakal menjadikan Mendez secara rasmi pemain warisan Harimau Malaya. Apa pun, langkah ini dilihat tepat pada masanya untuk mempersiapkan skuad negara ke peringkat lebih tinggi.

Recent Posts