sukan

Persiapan JDT bukan biasa-biasa

Juara Liga Super 11 musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen pramusim mereka di Sepanyol dengan langkah kanan apabila berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas pasukan tempatan di sana. Dalam aksi sulung yang berlangsung di Pusat Latihan Melia Vilaitana, Harimau Selatan mempamerkan keampuhan apabila menundukkan Real Murcia Imperial dengan keputusan 4-0. Gol-gol kemenangan pasukan itu dijaringkan oleh penyerang utama, Bergson Da Silva, Jairo Da Silva, serta dua jaringan daripada Romel Morales yang terus meningkatkan keyakinan pasukan.

Kemenangan bergaya ini menjadi pemangkin semangat kepada skuad kendalian Xisco Munoz untuk meneruskan momentum positif mereka. Dalam aksi kedua yang berlangsung awal pagi semalam di Estadi Olimpic Camilo Cano, JDT sekali lagi membuktikan keunggulan apabila menewaskan Costa City 1-0 hasil jaringan tunggal Bergson pada minit ke-68. Gol itu juga merupakan gol kedua Bergson sepanjang siri perlawanan pramusim ini, membuktikan ketajamannya di barisan serangan.

Menurut bekas jurulatih penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz, JDT kini sedang menunjukkan tahap persiapan bertaraf antarabangsa yang masih sukar dicabar oleh mana-mana pasukan di Malaysia ketika ini. Katanya, perancangan rapi di bawah kepimpinan pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, meletakkan JDT sentiasa berada di landasan terbaik untuk terus mendominasi arena bola sepak tempatan.

Azmin turut menambah bahawa selain memberi tumpuan kepada Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE), skuad Harimau Selatan juga akan mengambil bahagian dalam kejohanan Shopee Cup. Kejohanan tambahan ini dianggap memberi kelebihan besar kepada JDT dari segi tahap kecergasan pemain, pemantapan taktikal serta meningkatkan tahap konsistensi permainan skuad.

Beliau menjelaskan lagi, format Shopee Cup yang membabitkan enam pasukan dalam satu kumpulan membolehkan JDT mendapat lebih banyak aksi kompetitif. Ini secara tidak langsung menjadi medan ujian yang sangat baik untuk menilai kemampuan keseluruhan pasukan sebelum beraksi di pentas lebih besar.

Bagi Azmin, siri perlawanan pramusim yang dijalankan bukan sekadar rutin tahunan, tetapi menjadi penanda aras untuk menilai tahap adaptasi taktikal pemain serta membina gandingan mantap di antara muka lama dan muka baharu dalam pasukan. Rekod menunjukkan empat pemain baharu iaitu Jon Irazabal, Antonio Glauder, Hector Hevel dan Jairo Da Silva turut diberi kepercayaan untuk mengisi kesebelasan utama. Ini jelas menggambarkan pendekatan Xisco Munoz yang mahu membina keserasian lebih awal.

JDT masih mempunyai beberapa lagi perlawanan pemanas badan yang dijadualkan sepanjang berada di Sepanyol. Mereka bakal berdepan Cardiff City pada 9 Julai, diikuti Levante UD pada 12 Julai, Valencia Mestalla pada 14 Julai, Al Rayyan SC pada 16 Julai, Al Arabi SC pada 19 Julai dan kempen pramusim bakal ditutup dengan aksi menentang Riyadh FC pada 21 Julai.

Ketekunan JDT menjalani latihan pramusim dengan intensiti tinggi jelas mencerminkan tekad mereka untuk membentuk sebuah pasukan yang bukan sahaja berdaya saing di Liga Malaysia, malah berupaya menggegar pentas Asia dengan persembahan meyakinkan sepanjang musim ini.

Recent Posts