sukan

Nilai Terkini JDT tarik perhatian

 Gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mendominasi carta pasukan paling bernilai di Malaysia berdasarkan laporan semasa Transfermarkt yang meletakkan nilai skuad Harimau Selatan pada angka €14.08 juta, bersamaan kira-kira RM71.8 juta. Nilai tersebut melonjak hasil perancangan strategik yang dilaksanakan pengurusan kelab dengan membawa masuk beberapa pemain warisan dan import berkaliber tinggi ke dalam pasukan di bawah kendalian jurulatih Xisco Munoz.

Kini, JDT memiliki barisan pemain yang berjumlah 39 orang. Penyerang baru skuad Harimau Malaya, Joao Figueiredo, muncul sebagai pemain paling bernilai dengan harga pasaran mencecah €2 juta atau kira-kira RM9.96 juta, setelah sah menjadi milik JDT. Di belakang Figueiredo, pemain Brazil Jairo Da Silva turut tersenarai sebagai antara tonggak berharga dengan nilai pasaran €900,000 (RM4.4 juta).

Turut menambah nilai pasukan, Jon Irazabal, seorang lagi pemain warisan, dinilai sekitar €600,000 (RM3 juta). Sementara itu, Hector Hevel yang sebelum ini beraksi bersama Portimonense di Portugal, kini dianggarkan pada harga €400,000 (RM2 juta). Tidak ketinggalan, pemain tempatan paling bernilai dalam senarai JDT kekal disandang Arif Aiman Mohd Hanapi yang konsisten memegang gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) sebanyak empat kali berturut-turut. Arif Aiman kini dinilai pada harga pasaran €650,000 (RM3.2 juta).

Untuk musim 2025/2026, Harimau Selatan mengambil langkah berani dengan membawa masuk lapan muka baharu. Mereka ialah Irazabal, Hevel, Figueiredo, Jairo, Antonio Glauder, Ibrahim Manusi, Moussa Sidibe serta Jonathan Silva. Nilai keseluruhan lapan pemain baharu tersebut dianggarkan mencecah RM28 juta, sekali gus memperkukuh kekuatan JDT dalam persaingan Liga Malaysia, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).

Dalam pada itu, di sebalik pembelian besar-besaran, JDT turut melakukan penstrukturan semula skuad dengan melepaskan 11 pemain yang telah menamatkan kontrak mereka selepas musim lalu. Antara nama besar yang tidak lagi bersama Harimau Selatan ialah Jese Rodriguez, Alvaro Gonzalez, Jordi Amat, Murilo Henrique, Jonathan Viera, Roque Mesa serta Anselmo de Moraes. Empat pemain tempatan iaitu Safiq Rahim, Farizal Marlias, Izham Tarmizi dan Ramadhan Saifullah turut dilepaskan apabila kontrak mereka tidak disambung.

Meskipun skuad JDT kini bernilai lebih RM71 juta, angka itu sebenarnya sedikit rendah berbanding musim sebelumnya yang mencatatkan nilai sekitar €17.2 juta (RM85.62 juta). Ketika itu, JDT giat memperkukuh pasukan dengan beberapa pemain baharu ketika saingan kumpulan ACLE. Namun begitu, ramai pemerhati menjangka nilai semasa Harimau Selatan akan kembali meningkat sekiranya kelab terus proaktif mendapatkan khidmat pemain bertaraf antarabangsa bagi mencapai impian beraksi di Piala Dunia Kelab.

Dengan jadual padat membabitkan tiga kejohanan utama, musim depan dijangka bakal menjadi cabaran terbesar buat skuad JDT. Mereka bukan sahaja mahu mempertahankan dominasi di Liga Malaysia, malah turut mengintai peluang untuk mengekalkan reputasi di peringkat Asia Tenggara melalui ACC dan bersaing dengan kelab elit Asia dalam ACLE.

Perancangan berterusan dan langkah pembaharuan skuad menjadi bukti komitmen pengurusan Harimau Selatan dalam mengekalkan status mereka sebagai kuasa besar bola sepak tempatan. Peminat setia pasukan dijangka teruja untuk melihat bagaimana barisan baharu yang dibentuk ini mampu beraksi di pentas domestik dan antarabangsa dengan penuh keyakinan. Usaha JDT ini secara tidak langsung turut meletakkan Liga Malaysia dalam radar pemerhati bola sepak rantau ini yang sentiasa memantau perkembangan kelab gergasi berkenaan.