Bekas ketua jurulatih skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah menegaskan bahawa Indonesia merupakan halangan terbesar yang bakal dihadapi oleh skuad negara dalam saingan Piala Mandiri ASEAN B-23 yang akan bermula pada 15 Julai ini. Menurut Yusri, bukan hanya taktikal yang perlu diberi perhatian oleh skuad bimbingan Nafuzi Zain, malah aspek kekuatan mental turut memainkan peranan yang besar dalam menentukan hala tuju pasukan di kejohanan yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia.
Beliau berkata, pemain perlu bersedia secara mental untuk menghadapi segala tekanan sama ada sebelum perlawanan, ketika di padang mahupun selepas perlawanan tamat. Yusri juga mengingatkan skuad Harimau Muda supaya tidak memandang ringan cabaran daripada dua lagi pasukan dalam Kumpulan A, iaitu Filipina dan Brunei. Baginya, walaupun kedua-dua pasukan tersebut dianggap bukan pilihan, kejutan masih boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Indonesia sentiasa menjadi cabaran terbesar dalam mana-mana kejohanan, apatah lagi apabila berada dalam kumpulan yang sama. Perlawanan akhir peringkat kumpulan akan menjadi penentu siapa juara dan naib juara,” katanya lagi. Menurut Yusri, senario yang pernah berlaku sebelum ini, Filipina pernah menurunkan barisan pemain warisan yang berkualiti dan jika pasukan negara memandang remeh perkara itu, tidak mustahil sesuatu yang di luar jangkaan akan berlaku.
Dalam masa sama, beliau menaruh keyakinan penuh terhadap kemampuan Nafuzi Zain yang sudah dikenali dengan corak permainan dan karakter tersendiri. Beliau menyeru para pemain memanfaatkan peluang bukan sekadar untuk menimba pengalaman tetapi mencipta sesuatu yang lebih baik di pentas kejohanan kali ini. “Saya percaya dengan kebolehan Nafuzi Zain, jadi pemain perlu gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk buktikan kemampuan,” katanya mengakhiri perbualan.