Kritikan pedas dari peminat bola sepak Indonesia terus menghujani skuad wanita negara itu selepas kegagalan mereka untuk menempah slot ke Piala Asia 2026. Kekalahan dalam dua perlawanan peringkat kumpulan menjadi punca utama skuad Garuda Pertiwi tidak dapat melangkah lebih jauh meskipun mendapat kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Kekalahan yang mencetuskan rasa tidak puas hati itu bertambah perit apabila pasukan kebangsaan yang kini menduduki ranking ke-95 dunia, tewas kepada Pakistan yang berada jauh di kedudukan ke-157 dunia. Keputusan ini jelas mengejutkan ramai pihak, lebih-lebih lagi kerana Indonesia menurunkan beberapa pemain berdarah campuran seperti Emily Nahon, Isa Warps dan Felicia de Zeeuw bersama barisan pemain tempatan.
Pasukan yang diberi julukan Garuda Pertiwi itu walau bagaimanapun tetap gagal mencipta keputusan positif untuk membawa mereka ke pentas Piala Asia tahun depan. Kemenangan tipis ke atas Kyrgyzstan menjadi satu-satunya penawar duka, tetapi tidak cukup untuk menutup kekurangan 11 gol yang diperlukan untuk mendominasi Kumpulan D yang akhirnya dimenangi Chinese Taipei.
Kecewa dengan penyingkiran tersebut, para pemain di bawah kendalian jurulatih Satoru Mochizuki dilihat mengangkat sepanduk sebagai tanda desakan kepada Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI). Tuntutan itu jelas ditujukan kepada badan induk bola sepak negara supaya memperkukuh semula sokongan kepada bola sepak wanita, seiring dengan pembangunan skuad lelaki Indonesia yang kini semakin agresif melakukan revolusi.
Kegagalan tersebut membuka ruang untuk peminat dan pengkritik menuntut perhatian daripada pucuk pimpinan PSSI, khususnya Presiden PSSI Erick Thohir. Mereka mendesak agar platform yang sebelum ini pernah wujud melalui Liga 1 Wanita dihidupkan semula.
Pertanyaan sinis “Erick, bilakah Liga 1 Wanita akan kembali?” kini semakin nyaring kedengaran dalam kalangan penyokong yang mahu melihat pembangunan bola sepak wanita Indonesia kembali rancak seperti sebelum ini. Untuk rekod, Liga 1 Putri terakhir kali dianjurkan pada 2019. Sejak dari itu, belum ada sebarang kejohanan rasmi diteruskan, menjadikan masa depan ramai pemain wanita di peringkat domestik terumbang-ambing tanpa pentas kompetitif.
Tekanan terhadap PSSI kian menebal dengan harapan agar pihak bertanggungjawab segera tampil dengan pelan tindakan yang jelas. Ramai berharap liga wanita bukan sahaja dihidupkan semula, tetapi dijadikan medan pembangunan berterusan untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti. Ini penting bagi mengelakkan kekecewaan sama berulang pada kejohanan-kejohanan besar yang akan datang.
Harapan itu bagaimanapun memerlukan komitmen berterusan daripada pihak berkepentingan, termasuk pentadbiran PSSI, penaja dan juga penyokong sendiri. Apa pun alasannya, kegagalan Garuda Pertiwi kali ini menjadi pengajaran bahawa ekosistem bola sepak wanita tidak boleh diabaikan begitu sahaja.