Segelintir penyokong bola sepak dari negara jiran didapati sengaja menimbulkan provokasi dengan menyebarkan dakwaan palsu bahawa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah menggantung skuad Harimau Malaya daripada sebarang kejohanan antarabangsa sehingga tahun 2027. Tohmahan yang tular di media sosial sejak beberapa hari kebelakangan ini turut mendakwa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda AS$2 juta (RM844 juta), selain membatalkan keputusan perlawanan terdahulu Harimau Malaya serta melarang pengambilan pemain warisan untuk tempoh lima tahun.
Lebih membimbangkan, tindakan tidak bertanggungjawab ini dikesan menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai medium penyamaran, manakala penulis dipercayai beroperasi melalui akaun palsu bagi mengelak dikesan pengguna tempatan.
Situasi ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air. Susulan itu, wartawan Arena Metro mendapatkan reaksi peguam sukan, Syed Nur Aiman, yang menasihatkan agar FAM segera mengemukakan aduan kepada penyedia platform media sosial terbabit bagi mengelakkan insiden sebegini terus berulang.
“FAM boleh menghantar aduan rasmi kepada platform berkaitan. Contohnya, jika ia berlaku di TikTok, laporan boleh dibuat kepada pihak TikTok untuk tindakan seterusnya,” jelas Syed Nur Aiman ketika dihubungi.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa FAM mempunyai batasan dari sudut undang-undang sekiranya pihak yang membuat fitnah tidak terikat dengan badan bola sepak antarabangsa seperti FIFA atau AFC.
“Jika individu berkenaan bukan pemain, jurulatih mahupun pegawai yang berdaftar dengan mana-mana persatuan bola sepak, FAM memang tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan secara langsung.
“Tambahan pula, jika pelaku berada di luar negara dan hanya sekadar penyokong biasa, memang sukar untuk FAM membawa kes ke FIFA atau ke mahkamah antarabangsa,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Harimau Malaya sebelum ini merekrut enam pemain warisan baharu untuk perlawanan kedua Kumpulan H Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan lalu. Pemain-pemain tersebut ialah Joao Figueiredo, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Rodrigo Holgado, Facundo Garces dan Gabriel Palmero.
Machuca, Holgado dan Garces merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Argentina, Figueiredo pula Malaysia-Brazil, manakala Irazabal serta Palmero memiliki warisan Malaysia-Sepanyol. Kesemua pemain ini sudah pun mendapat pengesahan daripada FIFA.
Hasilnya, skuad kebangsaan berjaya menamatkan penantian 11 tahun ke atas Vietnam dengan kemenangan 4-0 pada 10 Jun lalu. Kemenangan itu juga memastikan Harimau Malaya mendahului Kumpulan H dengan enam mata daripada dua perlawanan sekali gus memberi kelebihan besar untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2027.
Dalam perlawanan pertama menewaskan Nepal 2-0, Harimau Malaya turut menurunkan seorang lagi pemain warisan, Hector Hevel, berdarah Malaysia-Belanda yang berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan dan mengemudi jentera tengah dengan cemerlang.