sukan

TERKINI : Malaysia ‘bantai’ Indonesia secukupnya

Skuad hoki remaja negara meneruskan momentum cemerlang apabila berjaya mengukuhkan kedudukan teratas dalam Kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia B-18 2025 selepas mencatat kemenangan bergaya menewaskan Indonesia 10-0 di Dazhou, China, pada perlawanan yang berlangsung sebentar tadi.

Kemenangan besar ini menyaksikan enam daripada gol Young Tigers terhasil melalui kelebihan pukulan sudut penalti. Iman Faris Faizo dan Muhammad Safwan Salihe masing-masing mencatatkan dua jaringan melalui situasi tersebut manakala satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti dihasilkan oleh Rafiq Mohamad Raze.

Empat gol tambahan yang menambah derita skuad Indonesia dijaringkan oleh Saiful Syahfy, Izz Ilhan Azrul, Hisyammudin Abdul Rani dan Ahmad Azuan Syahril.

Sebelum aksi menentang Indonesia, skuad bimbingan ini terlebih dahulu membuka langkah kanan dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas China pada aksi pertama. Momentum positif diteruskan apabila Kazakhstan pula menjadi mangsa seterusnya selepas mereka tumbang 4-0.

Rentetan keputusan positif ini menjadikan skuad muda kebangsaan semakin yakin untuk menghadapi baki saingan kumpulan sambil memburu slot ke peringkat seterusnya. Kejayaan membolosi gawang Indonesia sebanyak 10 kali tanpa balas turut membuktikan tahap serangan pasukan semakin tajam.

Pengendali pasukan sudah tentu berpuas hati dengan prestasi pemain muda yang semakin menunjukkan keserasian di atas padang. Dengan baki beberapa perlawanan lagi, para pemain dijangka mengekalkan disiplin permainan bagi memastikan misi mara ke peringkat kalah mati dapat direalisasikan.

Keyakinan tinggi turut disuarakan dalam kem Young Tigers yang mahu meneruskan rentak kemenangan tanpa kompromi. Kejayaan mengekang lawan daripada menjaringkan sebarang gol setakat ini juga memberi isyarat bahawa benteng pertahanan berfungsi baik dan mampu menghadapi cabaran lawan yang lebih kuat pada pusingan seterusnya.

Skuad muda hoki negara diharap dapat mengekalkan fokus dan momentum ini bagi mencapai sasaran utama untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan berprestij rantau Asia ini.