sukan

Saya pernah lakukan bersama kelab lain, kali ini dengan Selangor — Lira

 Penyerang terbaharu Selangor FC, Willian Lira, tampil dengan tekad besar apabila beliau menyatakan kesungguhan untuk menghadiahkan trofi berprestij buat Red Giants sejurus disahkan sebagai pemain baharu pasukan tersebut. Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC itu melahirkan keyakinan bahawa Selangor FC mempunyai kapasiti untuk mencapai sasaran tersebut sepanjang kempen Liga Malaysia musim 2025/2026.

Menurut Lira, matlamat utamanya adalah untuk memastikan Selangor FC mampu bersaing merebut kejuaraan sambil memastikan jaringannya menjadi penyumbang utama kepada kejayaan pasukan. “Keutamaan saya adalah membantu Selangor bersaing bagi merebut kejuaraan selain berusaha meledakkan sebanyak mungkin gol,” ujarnya penuh semangat.

Tambahnya lagi, beliau sudah pernah melakukan perkara sama bersama pasukan-pasukan lain sebelum ini, namun kali ini beliau berazam melakukannya demi Selangor FC. “Saya sudah membuktikannya bersama kelab lain, tetapi kini saya mahu mencipta kejayaan dengan Selangor pula.

“Setiap kali turun berlatih dan beraksi, saya akan berikan yang terbaik tidak kira sama ada di atas padang mahupun di luar,” katanya lagi yang berasal dari Brazil.

Willian Lira yang kini berusia 32 tahun, telah diperkenalkan sebagai pemain import keempat bagi skuad Merah Kuning untuk menghadapi cabaran domestik dan antarabangsa termasuklah Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) serta Kejuaraan Kelab Asean.

Karier bola sepak Lira bermula di Brazil apabila beliau mewakili beberapa kelab di liga Campeonato Brasileiro Série B dan Série C. Antara kelab yang pernah disertainya termasuklah Icasa, Ferroviário, Portuguesa dan São Bernardo FC.

Langkah Lira menjejakkan kaki ke benua Asia bermula di Jepun bersama Ventforet Kofu. Di sana, beliau mencatat sejarah beraksi selama dua musim dari 2021 hingga 2022 dan berjaya meledakkan 18 gol daripada 70 penampilan di Liga J2.

Lebih manis lagi, Lira turut memainkan peranan penting dalam membantu Ventforet Kofu mencipta kejutan menjuarai Piala Emperor 2022, membuktikan kemampuannya bersaing di pentas berprestij dan tekanan tinggi.

Selepas meninggalkan Jepun, beliau memilih Asia Tenggara sebagai destinasi seterusnya apabila menyertai Kedah Darul Aman FC pada awal tahun 2023. Tidak lama kemudian, Lira berpindah ke Thailand dengan menyarung jersi Chonburi FC bagi musim 2023/24.

Penyerang kelahiran Brazil itu terus mempamerkan ketajamannya di hadapan gol dengan rekod cemerlang, meledakkan 15 gol dalam 30 perlawanan Liga 1 Thai. Seterusnya, bagi musim lalu, Lira berkelana ke Emiriah Arab Bersatu bersama Hatta Club. Di sana, beliau menambah koleksi jaringan dengan 13 gol dan turut mencatat lima bantuan gol dalam 23 penampilan sepanjang musim 2024/25.

Kehadiran Lira ke Selangor FC diharapkan mampu membawa tuah serta memacu Red Giants ke tahap lebih tinggi, sekali gus menghidupkan kembali impian penyokong untuk melihat kejuaraan diraih pada musim baharu nanti.