Bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying menekankan betapa pentingnya atlet menguruskan tekanan dengan baik, lebih-lebih lagi pada zaman media sosial yang membolehkan sesiapa sahaja memberi kritikan secara terbuka tanpa tapisan. Bagi Liu Ying, aspek pengurusan tekanan bukan sahaja relevan untuk atlet muda, malah merangkumi semua peringkat. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran terbaru pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di Instagram yang menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat sukan tanah air.
Menurut Liu Ying, apa juga tekanan yang dihadapi, atlet perlu bersikap berani mengakui hakikat sebenar sekiranya mereka benar-benar berdepan masalah. Katanya, keberanian untuk mengakui tekanan adalah langkah pertama sebelum mendapatkan sokongan sewajarnya. Liu Ying turut mengingatkan bahawa tidak salah untuk mendapatkan bantuan daripada pakar seperti psikologi sukan bagi memastikan tekanan yang ditanggung tidak berlarutan sehingga menjejaskan prestasi.
“Saya percaya setiap atlet pasti pernah merasai tekanan dalam pelbagai bentuk, sama ada tekanan untuk menang, pulih daripada kecederaan atau mengekalkan prestasi. Bezanya hanya pada tahap tekanan yang ditanggung, sama ada ringan atau berat. Jika sudah sampai satu tahap yang kita sendiri tak mampu kawal, lebih baik dapatkan bantuan profesional. Jangan takut jumpa pakar psikologi kerana ia memang membantu,” kata Liu Ying ketika ditemui media di Bukit Kiara.
Beliau turut berkongsi pengalamannya sendiri yang pernah berdepan tekanan menjelang temasya Olimpik, malah pernah mendapatkan khidmat psikologi untuk membantu dirinya kekal fokus. Katanya, ia merupakan amalan biasa dalam kalangan atlet profesional yang mahu menjaga kesejahteraan mental agar dapat memberikan aksi terbaik di pentas tertinggi.
Dalam pada itu, Liu Ying turut menegaskan bahawa proses pemulihan daripada kecederaan adalah salah satu cabaran besar bagi mental seseorang atlet. Beliau berkata, kecederaan bukan sahaja menjejaskan fizikal tetapi juga memberi tekanan dari segi psikologi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan penaja dan harapan peminat. Katanya, penaja lazimnya mengharapkan publisiti manakala atlet pula berasa terdesak untuk kembali ke gelanggang secepat mungkin.
“Bila dah pulih, semua orang meletakkan harapan tinggi, sedangkan atlet itu perlukan masa untuk menyesuaikan diri semula dengan rentak pertandingan. Tak mungkin boleh capai tahap prestasi terbaik serta-merta. Sebab itu tekanan itu perlu diurus dengan bijak supaya tidak menjejaskan fokus dan semangat atlet,” jelasnya.
Dalam nada sama, Liu Ying merayu kepada para penyokong badminton negara agar memberi ruang dan masa kepada Lee Zii Jia untuk membina semula keyakinannya. Katanya, tekanan daripada penyokong juga boleh mempengaruhi kestabilan mental atlet. Beliau berharap peminat memahami situasi semasa Zii Jia dan memberikan peluang untuk beliau pulih sepenuhnya, baik dari segi fizikal mahupun mental.
“Saya harap semua peminat dapat bersabar dan beri dia masa. Sokongan moral sangat penting untuk memulihkan keyakinan. Peminat perlu jadi tulang belakang, bukan menambah tekanan,” katanya lagi selepas meninjau perkembangan Zii Jia melalui hantaran di Instagram milik pemain perseorangan tersebut.