Permata bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi yang berusia 23 tahun sekali lagi menarik perhatian khalayak apabila memuat naik semula satu hantaran Instagram Story milik seorang wanita yang sebelum ini pernah dikaitkan dengannya.
Dalam perkongsian tersebut, wanita berkenaan dilihat menitipkan doa serta ucapan selamat jalan buat Arif Aiman yang kini sedang berangkat ke Sepanyol untuk menyertai kem pramusim bermula hari ini hingga 22 Julai. Difahamkan juga, pemain berbakat besar itu bakal beraksi menentang kelab ternama La Liga, Levante UD sepanjang berada di sana.
“Lambaian perpisahan, genggaman tetap kukuh. Selamat pergi dan balik, Insha-Allah,” tulis wanita tersebut dalam hantaran berkenaan.
Menariknya, Arif Aiman turut memberikan reaksi balas terhadap ucapan itu dengan jawapan ringkas penuh makna. “Terima kasih, Insha-Allah, Amin,” balasnya.
Susulan perkongsian itu, warganet mula kembali membuat pelbagai andaian mengenai status sebenar hubungan antara Arif Aiman dan wanita tersebut. Ramai tertanya-tanya sama ada mereka sekadar berkawan rapat atau sebenarnya mempunyai ikatan istimewa yang masih dirahsiakan.
Sebelum ini, pasangan tersebut pernah menjadi perhatian apabila tampil bersama dalam satu sesi siaran langsung menjual koleksi tudung di bawah jenama milik wanita berkenaan. Kehadiran mereka berdua ketika itu sempat mencetus pelbagai reaksi lucu netizen.
Antara komen yang mencuri tumpuan adalah ucapan doa agar hubungan mereka kekal hingga ke jenjang pelamin. “Muka sama. Moga jodoh kekal sehingga ke akhir hayat,” demikian salah satu reaksi yang ditinggalkan pengikut.
Hasil carian mendapati Arif Aiman turut berada dalam senarai 20,300 pengikut Instagram wanita terbabit. Difahamkan wanita berkenaan berusia 20 tahun dan merupakan pemilik kepada jenama tudung popular Rumah Bawal Signature.
Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kedua-duanya, interaksi mesra yang dipamerkan jelas menimbulkan rasa ingin tahu orang ramai. Ramai peminat skuad Harimau Malaya dan penyokong Johor Darul Ta’zim menantikan perkembangan lanjut mengenai hubungan peribadi pemain muda kesayangan ramai itu.
Kini, tumpuan kembali terarah kepada Arif Aiman bukan sahaja kerana aksi cemerlangnya di padang, tetapi juga kisah peribadinya yang sekali lagi mengundang tanda tanya.