Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC (NSFC), Faliq Firdaus Muhammad Rom menegaskan bahawa skuad Jang kini menjadi pentas paling sesuai buat penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, membuktikan kemampuan sebenar sekali gus menutup segala kritikan terhadapnya.
Menurut Faliq, peluang yang bakal diberikan kepada Luqman selari dengan matlamat kelab yang mahu memastikan bakat tempatan tidak terus dipersiakan, apatah lagi pemain berusia 23 tahun itu pernah menimba pengalaman berharga di luar negara.
Beliau berkata, kehadiran Luqman ke pasukan NSFC bukan sahaja diharap mampu memberikan impak positif kepada jentera serangan, malah membuka peluang besar kepada pemain tersebut untuk kembali menemui sentuhan pemusnah yang pernah menjadi sebutan suatu ketika dahulu.
“Pada pandangan saya, mengapa Negeri Sembilan FC adalah destinasi terbaik untuk Luqman adalah kerana pasukan ini tidak boleh sekali lagi berada di kedudukan terbawah liga.
“Ini cabaran buat Luqman untuk buktikan bahawa segala kata-kata sinis dan kritikan yang dilemparkan kepadanya tidak berasas.
“Kami di pihak pengurusan bersama-sama pasukan kejurulatihan akan memberikan kebebasan kepadanya untuk tampil dengan karakter sebenar di atas padang, selain memberi jaminan bimbingan dan sokongan sepenuhnya.
“Bagaimanapun, dia tetap perlu bekerja keras dan bersaing untuk menempah tempat dalam kesebelasan utama kerana tiada jalan pintas untuk berjaya,” katanya ketika ditemui.
Pulang ke tanah air selepas hampir lima tahun mencuba nasib di pentas bola sepak Eropah dan Asia, Luqman Hakim membuat kejutan apabila memilih NSFC atau lebih dikenali dengan jolokan Hoben Jang Hoben sebagai pasukan barunya.
Luqman, yang merupakan produk Akademi Mokhtar Dahari, sebelum ini beraksi bersama KV Kortrijk di Belgium tetapi berdepan kesukaran menembusi skuad utama sehingga dipinjamkan ke kelab Njardvik di Iceland dan kemudiannya ke Yokohama SSC di Jepun.
Tambah Faliq, segala perbincangan bersama Luqman telah dilakukan dengan teliti, termasuk pelan pembangunan dan keyakinan pihak pengurusan terhadap kemampuannya membantu NSFC meraih keputusan positif pada musim ini.
“Dalam pertemuan kami, banyak perkara telah dibincangkan termasuk sasaran pasukan dan peranan yang diharapkan daripadanya.
“Prinsip kami mudah, dia bantu NSFC, NSFC juga akan bantu dia kembali menyerlah seperti yang pernah diharapkan oleh peminat bola sepak tempatan.
“Kami percaya dengan kehadirannya serta gabungan dengan pemain-pemain lain, pasukan ini akan mampu memberikan cabaran dan tidak lagi dipandang enteng oleh lawan,” katanya lagi.