Manchester United kini berdepan kritikan hebat selepas keputusan mereka melepaskan Scott McTominay ke Napoli musim panas lalu disifatkan sebagai antara langkah paling memalukan dalam sejarah bola sepak moden. Keputusan tersebut, yang dibuat ketika kelab itu bergelut mematuhi peraturan kewangan, dilihat memakan diri apabila McTominay tampil luar biasa di Itali.
Perpindahan McTominay ke Napoli bernilai 27.5 juta pound (RM158 juta) telah membuka lembaran baharu buat pemain berusia 28 tahun itu apabila dia segera menyesuaikan diri dan menjadi watak penting di sebalik kejayaan kelab Serie A tersebut mempertahankan gelaran liga mereka. Sokongan padu penyokong Napoli semakin menambahkan aura McTominay yang kini dianggap antara pembelian terbaik kelab itu dalam dekad ini.
United, bagaimanapun, mengambil langkah menjual McTominay demi memastikan yuran perpindahan dapat dicatatkan sebagai keuntungan bersih dalam rekod kewangan kelab. Ini memandangkan pemain tersebut datang daripada akademi mereka sendiri. Langkah itu, meskipun dilihat praktikal dari sudut kewangan, tidak dapat diterima ramai termasuk bekas jurulatih mereka, Benni McCarthy.
McCarthy, yang pernah mengendalikan McTominay ketika era pengurus Erik ten Hag, tidak berselindung menyuarakan rasa kesalnya terhadap keputusan kelab lamanya itu. Bagi beliau, pemain berjiwa tempatan seperti McTominay adalah tunjang kekuatan mental di dalam bilik persalinan United.
“Sudah tentu pelbagai faktor mempengaruhi penjualan pemain seperti Scotty. Namun, saya berpendapat melepaskan dia adalah satu kesilapan besar dalam dunia bola sepak. Dia mungkin bukan pemain paling teknikal tetapi semangatnya sentiasa menjadi penggerak di atas padang,” ujar McCarthy.
Beliau turut menambah, United kini dilihat cuba menutup kekosongan yang ditinggalkan McTominay dengan menandatangani Matheus Cunha, namun bagi McCarthy, semangat juang McTominay sukar dicari ganti.
“Dia pemain yang memberi inspirasi dalam bilik persalinan. Harga jualannya juga terlalu rendah berbanding sumbangannya. Saya yakin ramai di United menyesal dengan keputusan ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, McCarthy turut berkongsi rasa kecewanya apabila percubaannya membawa masuk penyerang Liverpool, Cody Gakpo, ke Old Trafford tidak kesampaian. Menurutnya, beliau dan beberapa pegawai teknikal lain sudah lama melihat potensi Gakpo sebagai penggempur yang ideal buat United.
“Gakpo adalah sasaran utama kami ketika itu. Kami semua bersetuju dia adalah pemain yang tepat, malah perbincangan dengan ejen dan Erik ten Hag sangat positif. Malangnya, ia tidak menjadi kenyataan disebabkan beberapa faktor dalaman,” dedah McCarthy.
Kini, para penyokong United menuntut penjelasan lebih terperinci daripada pengurusan kelab berhubung keputusan melepaskan McTominay yang nyata bersinar di Napoli. Ramai merasakan langkah itu menambah satu lagi episod duka dalam usaha kelab membina semula skuad mantap selepas era kegemilangan Sir Alex Ferguson.
Lebih memburukkan keadaan, kegagalan mendapatkan Gakpo dilihat menambah tekanan kepada pengurusan pencarian bakat yang sebelum ini turut dikritik kerana beberapa pembelian mahal tidak menepati jangkaan. Para penyokong mengharapkan agar pengurusan sedia memperbaiki kelemahan dan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan penjualan pemain terutama pemain akademi yang terbukti setia.
Scott McTominay kini terus menjadi watak penting buat Napoli dan dijangka menjadi tonggak utama dalam misi mempertahankan kejuaraan musim hadapan. Kejayaan beliau juga menjadi peringatan keras kepada United bahawa menjual pemain setia dengan harga murah tidak selalunya mendatangkan keuntungan mutlak.