Kuala Lumpur (KL) City FC secara rasmi mengumumkan kemasukan pemain kebangsaan, Safawi Rasid, yang bakal memperkukuh skuad City Boys bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia musim 2025-2026. Pengumuman itu telah dibuat oleh pihak pengurusan kelab menerusi platform media sosial rasmi mereka pada hari ini, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hala tuju pemain bintang tersebut selepas menamatkan kontrak bersama Terengganu FC (TFC).
Dalam kenyataan rasmi itu, KL City menggambarkan Safawi sebagai salah seorang bakat terbaik yang pernah dimiliki bola sepak Malaysia ketika ini. Mereka percaya kehadiran pemain itu mampu meningkatkan lagi kekuatan barisan serangan City Boys dalam misi mencabar kejuaraan pada musim akan datang.
“Salah satu bakat paling yang terbaik dalam bola sepak Malaysia kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada keluarga kami! Selamat datang ke Ibu Kota, Safawi Rasid!,” demikian menurut hantaran yang dimuat naik di laman rasmi KL City yang terus menarik perhatian penyokong setia kelab itu.
Terdahulu, KL City juga telah membuat satu lagi pengumuman penting apabila mereka menamakan bekas pengendali Melaka United, Risto Vidakovic, sebagai ketua jurulatih baharu. Pelantikan jurulatih berpengalaman itu dilihat sebagai langkah serius dalam memperkukuh barisan kejurulatihan bagi memastikan perancangan kelab lebih mantap untuk musim 2025-2026.
Sementara itu, Safawi sendiri tidak ketinggalan untuk berkongsi ucapan penghargaan melalui laman Instagram miliknya. Dalam muat naik tersebut, Safawi memaparkan beberapa keping gambar kenangan ketika beraksi bersama Terengganu FC musim lalu. Beliau turut menitipkan ucapan terima kasih yang penuh emosi kepada semua pihak yang pernah bersama-sama mengharungi perjalanan bola sepaknya di sana.
“Semua ini menggambarkan segalanya, banyak kenangan yang saya cipta. Pengalaman, penyokong yang hebat, rakan sepasukan yang luar biasa, barisan kejurulatihan yang prihatin dan pelbagai emosi yang tak dapat digambarkan,” tulis Safawi yang kelihatan cukup terharu dengan sokongan padu yang diberikan kepadanya sepanjang berada di TFC.
Tambah Safawi lagi, beliau berasa amat bersyukur dengan sokongan yang tidak pernah putus, sama ada di dalam mahupun di luar padang. Baginya, perjalanan sebagai pemain profesional penuh dengan liku, namun kata-kata semangat daripada semua pihak membuatkan beliau terus bersemangat untuk memberikan yang terbaik di pentas bola sepak tempatan.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan, tidak kira di dalam atau luar padang. Namun inilah bola sepak, saya tiada ucapan lain selain yang terbaik buat semua. Semoga berjaya TFC untuk musim yang akan datang,” coretnya lagi, sebagai tanda perpisahan dengan pasukan lamanya.
Sepanjang musim lalu, Safawi mencatatkan rekod yang cukup membanggakan apabila membuat sebanyak 35 penampilan bersama Terengganu FC. Dalam tempoh tersebut, beliau berjaya meledak sebanyak 18 gol dan turut mencatatkan lima bantuan jaringan, sekali gus membuktikan kualiti dan konsistensi beliau di atas padang.
Penyokong KL City kini pastinya menaruh harapan besar agar Safawi dapat mengekalkan prestasi cemerlangnya dan membawa semangat baharu ke dalam skuad City Boys. Dengan gabungan pemain berpengalaman dan tenaga muda, di samping bimbingan Risto Vidakovic, KL City dilihat mampu bersaing dengan lebih sengit pada musim mendatang.
Langkah ini juga diharap dapat memberikan saingan lebih hebat dalam Liga Malaysia yang semakin kompetitif, sekali gus menjadi bukti kesungguhan kelab untuk muncul sebagai pencabar utama kejuaraan.