sukan

TERKINI : Hantaran Afiq Fazail di ACLE ‘mendonia’

 Hantaran menarik yang dihasilkan oleh pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail, ketika menentang kelab Ulsan HD pada saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 di Stadium Sultan Ibrahim, berjaya mendapat pengiktirafan sebagai Bantuan Gol Terbaik bagi kejohanan berprestij itu.

Dalam perlawanan bersejarah itu, hantaran cantik yang dilakukan Afiq, pemain tengah berusia 30 tahun, menjadi antara detik penting buat JDT apabila membantu skuad Harimau Selatan membenam cabaran Ulsan HD dengan keputusan meyakinkan 3-0.

Undian yang dilakukan oleh para penyokong menerusi laman sesawang rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menunjukkan Afiq mendahului carta Bantuan Gol Terbaik dengan pungutan undian sebanyak 32.73 peratus. Keputusan tersebut sekali gus mengesahkan nama Afiq di tangga teratas, mengetepikan beberapa pemain ternama dunia.

Antara pemain bintang yang turut bertanding dalam pencalonan ini ialah Roberto Firmino, Riyad Mahrez, Joao Cancelo serta pemain sensasi Akram Afif. Namun, kehebatan Afiq mengatur gerakan dengan hantaran tepat membolehkan beliau mendominasi pilihan penyokong di seluruh rantau Asia.

Lebih membanggakan, Afiq menjadi satu daripada hanya dua pemain dari Asia Tenggara yang berjaya disenarai pendek dalam pencalonan anugerah tersebut. Seorang lagi wakil Asia Tenggara ialah pemain Thailand, Suphanat Mueanta, yang beraksi bersama kelab Buriram United.

Dalam pertemuan tersebut, Afiq hanya memerlukan tempoh singkat untuk memberikan impak bermakna kepada pasukan. Beliau dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-88 bagi menggantikan Natxo Insa.

Meskipun hanya beraksi beberapa minit, Afiq membuktikan keupayaan teknikalnya apabila hantaran lambung yang dihasilkannya berjaya menembusi benteng pertahanan Ulsan HD. Bola hantaran Afiq tepat menemui rakan sepasukan, Bergson, yang kemudian mengawal bola dengan kemas sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol lawan, Jo Hyeon Woo. Gol tersebut menjadi jaringan ketiga JDT dalam perlawanan berkenaan sekaligus menoktahkan kemenangan bergaya di hadapan penyokong sendiri.

Sementara itu, Roger Ibanez yang beraksi bersama Ah-Ahli Saudi FC turut mencuri perhatian apabila hantaran lambungnya berjaya menghasilkan jaringan menarik. Ibanez melakukan hantaran kepada Riyad Mahrez yang bijak memanfaatkan peluang untuk meledak gol ketika berdepan Al-Wasl. Hantaran tersebut menduduki tempat kedua dengan 26.71 peratus undian.

Di samping itu, Mahrez yang juga bekas pemain Manchester City, menamatkan saingan undian Bantuan Gol Terbaik di tangga ketiga. Bantuan gol Mahrez ketika perlawanan menentang Al-Hilal pada peringkat separuh akhir ACLE menerima 20.78 peratus undian daripada penyokong.

Pengiktirafan ini menjadi kebanggaan buat Afiq Fazail, Johor Darul Ta’zim dan juga Malaysia. Ia membuktikan bahawa pemain tempatan mampu bersaing di pentas tertinggi Asia dengan kualiti permainan yang menepati standard antarabangsa.

Kejayaan tersebut diharap dapat menyuntik semangat rakan sepasukan lain untuk terus bekerja keras dan mengekalkan prestasi terbaik sepanjang musim ACLE 2024/25. Para penyokong juga pastinya mahu melihat lebih banyak aksi bermutu tinggi daripada pemain kebangsaan seperti Afiq.

Dengan rekod cemerlang ini, Afiq Fazail diangkat sebagai salah seorang pemain yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, membawa nama negara ke peringkat benua melalui aksi berkualiti dan dedikasi tanpa mengenal penat lelah di atas padang.