sukan

Rifdean Masdor bantai petarung Israel sampai lembik

Jaguh muay thai negara, Rifdean Masdor, berkongsi detik penuh mendebarkan ketika beliau menumpaskan petarung dari Israel sehingga perlawanan yang disiarkan secara langsung itu terpaksa dihentikan. Momen bersejarah ini menjadi bualan hangat apabila Rifdean mendedahkan kisah sebenar di sebalik kejayaan tersebut menerusi satu sesi podcast yang kini tular di media sosial.

Menurut Rifdean, ramai pihak mungkin tidak mengetahui bahawa perlawanan itu berlaku sewaktu beliau masih bergelar atlet muay thai junior. “Mungkin saya cerita ini ramai orang akan hargai, saya pernah berdepan lawan dari Israel dan menang. Tetapi ramai tidak tahu perjuangan itu masa saya masih junior,” katanya memulakan kisahnya.

Pertarungan yang berlangsung sekitar tahun 2018 itu bukanlah mudah buatnya. Rifdean menceritakan bagaimana beliau mengalami kecederaan serius seawal pusingan pertama. “Pada masa itu 2018 tak silap saya, saya lawan dengan petarung dari Israel. Pusingan pertama hidung saya patah, saya kata habislah kerana dia ada rekod baik,” jelasnya.

Situasi ketika itu menuntut kekuatan fizikal dan mental yang luar biasa. Dengan hidung yang patah serta darah membasahi muka, Rifdean menerima kata-kata tegas daripada jurulatihnya yang berada di luar gelanggang. “Jurulatih maki saya dari luar untuk bagi kita kesedaran, muka saya dah berdarah ketika itu, pengadil sumbat tisu. Tetapi sebab final pusingan kedua saya tukar taktikal,” ujarnya.

Baginya, taktikal yang tepat menjadi penentu sama ada seseorang layak bergelar petarung profesional atau tidak. “Taktikal penting dalam karier profesional, kerana tanpa taktikal tak perlu jadi petarung profesional lah,” tambahnya. Dalam pusingan kedua, Rifdean mula menunjukkan kehandalannya apabila berjaya melemahkan lawan dengan serangan bertubi-tubi.

Hasil usaha dan strategi yang berubah, petarung dari Israel itu akhirnya tidak mampu bertahan sehingga ke pusingan ketiga. “Pusingan kedua saya pukul sampai dia lembik, hingga pusingan ketiga dia tak boleh buat apa dah,” katanya.

Kemenangan Rifdean bukan sahaja membanggakan dirinya, malah mengejutkan ramai pihak. Difahamkan, sebelum perlawanan bermula, beberapa negara termasuk Iran pernah memintanya menarik diri daripada pertarungan tersebut. Namun, Rifdean berpegang teguh dengan prinsipnya untuk tidak gentar dengan cabaran. “Sampai orang tutup aksi siaran langsung, sebelum saya lawan ada negara seperti Iran suruh saya tarik diri tetapi saya rasa inilah masa nak berlawan. Dan akhirnya saya menang,” katanya mengakhiri perkongsian.

Detik manis ini menjadi bukti bahawa dengan keazaman, keberanian dan strategi yang tepat, tiada halangan yang mustahil untuk diatasi oleh anak muda tanah air seperti Rifdean Masdor.