sukan

Kenapa tak datang tapi bersuara lantang

 Isu berkaitan tunggakan gaji musim lepas terus mendapat perhatian apabila beberapa bekas pemain Kelantan The Real Warriors (TRW) masih belum hadir ke meja rundingan yang telah diatur. Mereka sebelum ini lantang bersuara melalui media sosial, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan pembayaran yang sepatutnya diterima.

Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif TRW mengesahkan perkara ini. Menurut beliau, pihak kelab sama sekali tidak menafikan kewujudan tunggakan, malah langkah penyelesaian sedang dilakukan mengikut jadual dan aturan yang formal. Usaha ini memerlukan kerjasama penuh daripada semua pihak, termasuk bekas pemain yang terlibat.

Setakat ini, lebih sepuluh kes berjaya dileraikan dengan baik hasil perjumpaan rasmi. Namun, beberapa individu masih belum hadir biarpun notis pemanggilan telah dihantar lebih awal.

“Minggu lalu kami keluarkan jemputan rasmi. Ada yang beri kerjasama, dan terus selesai. Tetapi yang tidak hadir, bagaimana mahu selesai? Isu ini tidak boleh diselesaikan melalui aplikasi WhatsApp sahaja kerana ia berkaitan komitmen serius. Kalau benar mahu selesaikan, kena duduk semeja,” jelas Irwan Rizal.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu semasa sesi latihan sulung pemain baharu pasukan tersebut. Turut berada di lokasi ialah Tan Sri Annuar Musa yang bertindak sebagai Penasihat TRW dan jurulatih E Elavarasan yang kini mengemudi pasukan.

Menurut Irwan Rizal lagi, ruang perbincangan sentiasa dibuka untuk semua bekas pemain yang mahu membuat tuntutan. Kelab tidak pernah menutup pintu malah mengalu-alukan kehadiran mereka untuk berunding secara baik.

“Mereka berhak untuk menyuarakan pandangan di luar tetapi jika benar mahu penyelesaian, datanglah berbincang secara sah. Kita ada prosedur. Tidak cukup hanya bersuara lantang tetapi senyap apabila dijemput,” tegasnya lagi.

Beliau turut memaklumkan, terdapat beberapa pemain yang memilih untuk hadir dan berbincang secara peribadi. Hasilnya, kes mereka dapat diselesaikan dalam tempoh singkat, ada yang selesai selepas sesi latihan pagi mahupun malam.

“Kami sekarang tidak hanya bergantung pada panggilan telefon. Kami keluarkan surat rasmi, dinyatakan tarikh, lokasi dan catatan lengkap. Ini bagi mengelakkan tuduhan kami tidak memanggil sesiapa. Siapa yang cepat bertindak, cepat selesai. Pihak pengurusan tidak pernah mahu bergaduh. Matlamat kami hanya mahu semua pihak mendapat hak masing-masing,” katanya.

Irwan Rizal turut menegaskan bahawa barisan pengurusan baharu TRW komited melunaskan tanggungjawab walaupun tunggakan tersebut berlaku sebelum mereka mengambil alih pentadbiran kelab. Malah, ada pemain yang semasa sesi perbincangan turut menyuarakan hasrat menyambung kontrak dengan pasukan. Bagaimanapun, hal tersebut akan dibawa kepada jurulatih utama untuk penelitian.

Dalam pada itu, Irwan Rizal menyentuh soal penjenamaan semula pasukan. Beliau menjelaskan, penukaran nama daripada Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) kepada Kelantan The Real Warriors dibuat bagi menyokong penstrukturan semula pengurusan. Penjenamaan baharu ini diharap mampu memberikan imej segar kepada kelab bola sepak itu.

“Apabila kita ubah struktur, banyak elemen terlibat termasuk pentadbiran, pemain, sistem dalaman dan jenama pasukan. Itu amalan biasa dalam mana-mana organisasi,” tambahnya lagi.

Beliau turut menjelaskan, isu penggunaan nama yang mirip dengan KRW FC tidak seharusnya diperbesarkan. Ini kerana, pada hakikatnya semua pasukan yang bernaung di bawah bola sepak Kelantan berada dalam satu ‘keluarga’ besar.

“Kami tidak melihat mereka sebagai pesaing. Malah, semalam kami menandatangani memorandum persefahaman bersama semua kelab bola sepak dari negeri ini yang terlibat dalam liga. Itu bukti jelas kami tidak memusuhi mana-mana pihak,” katanya mengakhiri pertemuan.