Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memacu cita-cita tinggi dengan menyasarkan peluang untuk menempah tiket ke pentas Piala Dunia Kelab Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada masa akan datang. Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia menegaskan, sasaran besar itu tidak mustahil untuk digapai asalkan skuad Harimau Selatan terus menunjukkan perkembangan positif setiap kali beraksi di peringkat benua, khususnya menerusi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Menurut Garcia, peluang untuk merealisasikan impian itu semakin cerah berikutan potensi pengembangan bilangan kelab yang akan beraksi di Piala Dunia Kelab FIFA pada edisi-edisi akan datang. Langkah itu membuka lebih banyak slot buat kelab Asia, bukan hanya terhad kepada juara ACLE. Justeru, JDT menetapkan sasaran untuk mara sejauh mungkin dalam kejohanan ACLE pada setiap musim agar dapat memperbaiki ranking kelab Asia mereka. Kedudukan yang kukuh akan menjadi tiket buat JDT mewakili Malaysia di pentas tertinggi kelab dunia suatu hari nanti.
Garcia mengakui, usaha untuk menembusi kejohanan berprestij itu bukan satu tugas mudah memandangkan tahap persaingan bola sepak Asia yang kian sengit. Menurut beliau, skuad JDT tidak boleh leka walau sesaat sekalipun jika mahu memastikan misi besar itu dapat dicapai. Tambahnya lagi, barisan pemain baharu yang dibawa masuk bagi musim 2025-26 adalah selaras dengan hala tuju kelab yang mahu mengangkat nama Johor dan Malaysia ke tahap lebih tinggi di pentas bola sepak antarabangsa.
Sebagai rekod, empat kelab dari benua Asia kini sedang bersaing di Piala Dunia Kelab FIFA iaitu Urawa Red Diamonds, Al-Hilal, Ulsan HD dan Al-Ain. Daripada keempat-empat pasukan tersebut, hanya Al-Hilal yang berjaya melangkah ke peringkat suku akhir apabila menyingkirkan lawan untuk berdepan dengan wakil Brazil, Fluminense, pada Sabtu awal pagi ini.
Dalam perkembangan sama, Garcia menjelaskan bahawa pasukan JDT akan terus berusaha memenuhi aspirasi pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail. Pemilik pasukan itu sebelum ini menitahkan supaya Harimau Selatan memaksimumkan potensi sedia ada selain berbangga membawa bendera Johor dan Malaysia lebih tinggi di pentas antarabangsa, sama ada di dalam padang mahupun di luar padang.
Beliau turut menekankan bahawa JDT sebagai penyumbang utama mata ranking Ahli Gabungan (MA) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) perlu mempertahankan prestasi cemerlang tersebut. Malah, menurut Garcia, pasukan tidak hanya sekadar mengekalkan momentum sedia ada tetapi harus mensasarkan pencapaian lebih tinggi pada musim-musim mendatang.
Sejak 2019, JDT menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam kejohanan ACLE dan telah menyumbang sebahagian besar mata ranking AFC Member Association. Usaha itu membolehkan lebih banyak kelab tempatan berpeluang beraksi di pentas Asia pada masa depan. Menurut Garcia, tanggungjawab tersebut memerlukan perancangan yang rapi, persediaan menyeluruh dan komitmen berterusan daripada semua pihak di dalam pasukan.
Dengan visi yang jelas, JDT optimis impian untuk beraksi di Piala Dunia Kelab FIFA bukan lagi angan-angan kosong. Garcia percaya dengan strategi, pelaburan pemain berprofil tinggi serta sokongan padu daripada peminat dan pengurusan, sasaran tersebut bakal direalisasikan sedikit demi sedikit.
Beliau menutup kenyataan dengan menyeru semua penyokong untuk terus berdiri teguh di belakang Harimau Selatan, memberikan sokongan moral agar pasukan terus kekal sebagai kuasa besar bola sepak negara dan bersedia membawa nama Malaysia ke pentas dunia.