Selepas pengesahan bahawa Sri Pahang FC tidak lagi akan bersaing dalam Liga Super musim depan, timbul pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak tanah air berhubung hala tuju pasukan bersejarah itu. Ramai penyokong setia Tok Gajah mula mengutarakan pandangan supaya kelab kesayangan mereka melakukan kebangkitan semula menerusi penyertaan dalam Liga A1 di bawah seliaan Liga Amatur Malaysia (AFL).
Suasana ini menghangatkan perbincangan dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan yang mahu melihat Sri Pahang FC terus bergerak aktif dalam kancah bola sepak nasional meskipun tidak lagi tersenarai dalam kelompok elit Liga Super. Namun begitu, segala perancangan setakat ini belum mendapat sebarang kepastian kerana pihak AFL belum menerima permohonan rasmi daripada Sri Pahang FC.
Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad menegaskan bahawa pihaknya masih menanti sebarang pengesahan bertulis daripada pihak pengurusan Sri Pahang sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil. Menurut beliau, sebarang penambahan pasukan memerlukan prosedur tertentu dan bukan sekadar desakan atau cadangan daripada pihak luar.
“Kalau tanya saya berkenaan dengan pasukan Pahang, setakat ini kita belum dapat apa-apa yang rasmi lah, secara rasminya memang tak ada,” katanya ketika ditemui. Jelas beliau lagi, AFL sentiasa terbuka kepada penyertaan baharu asalkan permohonan dilakukan secara betul mengikut tatacara yang telah ditetapkan.
Untuk rekod, Sri Pahang merupakan antara tiga pasukan yang tidak akan beraksi dalam Liga Super musim 2025 bersama Perak FC dan Kedah Darul Aman FC. Ketiadaan ketiga-tiga pasukan ini mengejutkan peminat kerana mereka dianggap antara nama besar dalam saingan liga tempatan. Pelbagai faktor menjadi punca penyingkiran ini namun perkara terperinci tidak diperjelaskan kepada umum.
Dalam pada itu, Mohd Raimi menambah, setiap permohonan baharu untuk menyertai Liga A1 perlu melalui saringan yang ketat sebelum dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah AFL. Katanya, proses itu penting bagi memastikan struktur liga kekal teratur tanpa menjejaskan jadual perlawanan yang telah disusun lebih awal.
“Permohonan baharu bergantung kepada jika ada secara bertulis ni. Macam biasalah, kita akan bawa masuk ke mesyuarat lembaga pengarah dan daripada situ kita akan lihatlah sama ada peluang ataupun potensi itu wujud atau ada atau tak ada, macam tu lah,” jelas beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa AFL sebelum ini pernah memberikan ruang kepada beberapa pasukan untuk kembali bersaing selepas dinilai layak dari segi pengurusan dan kesediaan pasukan. Namun begitu, keadaan pada masa ini dilihat agak mencabar kerana segala perancangan teknikal sudah hampir muktamad menjelang sepak mula liga kurang sebulan lagi.
Mengulas lanjut, Mohd Raimi berkata sebarang penambahan pasukan secara tiba-tiba boleh menjejaskan keseluruhan penyusunan kumpulan, jadual perlawanan dan aspek logistik yang sudah dirancang rapi. Hal ini juga boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pasukan lain yang sudah pun bersedia untuk menghadapi musim baharu.
“Sekarang ni kita sudah umumkan 16 pasukan yang akan bermain dan dalam masa terdekat ni, kita akan jalankan taklimat kepada pasukan Liga A1. Sebarang perubahan drastik seperti penambahan pasukan boleh memberi kesan kepada jadual, penyusunan kumpulan dan struktur teknikal yang sudah disusun rapi menjelang sepak mula liga kurang sebulan dari sekarang.
“Saya rasa, untuk potensi atau peluang tu, nak kata tertutup tu tak lah… tapi dalam situasi semasa ni, nampak macam agak berat, agak kelam-kabut jugalah,” katanya menutup perbualan.
Buat masa ini, peminat Tok Gajah perlu menanti perkembangan selanjutnya sama ada pengurusan Sri Pahang akan mengambil langkah proaktif untuk menghantar permohonan rasmi atau sebaliknya. Dalam masa yang sama, pemerhati bola sepak berharap pasukan legenda ini tidak lenyap daripada radar bola sepak Malaysia.