sukan

Pendatang baharu Liga Super dalam dilema selepas Stadium Darul Aman tidak dapat digunakan

Pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC kini berdepan tekanan besar apabila mereka diberikan tempoh sehingga Sabtu ini untuk menamakan gelanggang rasmi yang akan digunakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-2026. Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, memaklumkan bahawa setakat ini semua pasukan lain telah pun mengesahkan venue masing-masing kecuali Imigresen FC yang masih gagal memuktamadkan lokasi gelanggang mereka. Keadaan ini menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan sesi pemeriksaan fizikal ke semua venue bakal bermula esok.

Aspek yang akan diperiksa termasuk peraturan pertandingan, kemudahan media, penyiaran, komersial dan perlesenan kelab. “Sehingga kini kita masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada Imigresen FC. Sebelum ini mereka pernah menamakan Stadium Darul Aman sebagai venue, namun maklumat terkini menunjukkan venue itu tidak boleh digunakan,” ujar beliau.

Situasi tersebut berubah secara mendadak selepas timbulnya pengesahan bahawa Stadium Darul Aman tidak dapat digunakan sebagai gelanggang rasmi Imigresen FC. Hal ini sekali gus menimbulkan tanda tanya besar mengenai di mana pasukan berkenaan akan beraksi musim ini.

Pihak sekretariat liga pula sentiasa berhubung dengan pihak Imigresen FC dan difahamkan mereka kini berada dalam fasa akhir menamakan lokasi rasmi. Walau bagaimanapun, pihak liga menegaskan bahawa tarikh akhir penyerahan butiran gelanggang ialah pada 5 Julai ini untuk memastikan semua persiapan operasi dan pelaksanaan musim baharu berjalan lancar seperti dirancang.

“Kita serahkan sepenuhnya kepada pasukan Imigresen FC untuk membuat keputusan. Setakat yang diketahui, mereka masih mencari venue di bahagian Utara tetapi sehingga kini tiada pengesahan rasmi,” katanya lagi.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pernah memaklumkan bahawa Imigresen FC tidak dibenarkan mendaftar Stadium Darul Aman sebagai gelanggang sendiri. Ini kerana Kedah FA dan Kedah Darul Aman FC yang berpangkalan di negeri berkenaan berhak menggunakan stadium tersebut kerana mereka adalah wakil tetap negeri itu dalam Liga A1 Semi-Pro.

Keputusan itu telah memaksa Imigresen FC mencari alternatif lain dalam masa yang cukup singkat, lebih-lebih lagi dengan musim baharu dijangka membuka tirai dalam tempoh sebulan sahaja lagi. Tekanan ini bukan hanya membebankan pengurusan kelab tetapi turut memberi kesan kepada penyokong dan pemain yang sehingga kini masih belum mengetahui di manakah ‘rumah’ rasmi mereka musim ini.

Bagaimanapun, pihak MFL memberi jaminan bahawa segala keperluan logistik akan diselaras sebaik sahaja venue rasmi dimuktamadkan. Namun pasukan berstatus Liga Super tetap tidak boleh beroperasi tanpa gelanggang rasmi yang diiktiraf mengikut piawaian liga bagi memastikan kelancaran keseluruhan perjalanan liga musim 2025-2026.