sukan

Lee Tuck terus julang nama Malaysia di pentas antarabangsa

Sudah pasti lama tidak kedengaran mengenai bekas pemain naturalisasi Harimau Malaya, Lee Tuck, yang tidak lagi beraksi dalam kancah tempatan sejak beberapa ketika lalu. Namun begitu, perkembangan terbaharunya membawa khabar cukup membanggakan buat peminat bola sepak tempatan apabila Lee Tuck kini bergelar juara dalam satu kejohanan berprestij yang menuntut tahap kecergasan tinggi di Singapura.

Bekas pemain yang pernah beraksi cemerlang bersama Terengganu dan Kedah itu berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan menjuarai HYROX Asian Championship bagi kategori 35-39. Lebih membanggakan lagi, ini merupakan kejuaraan keduanya berturut-turut sejak kejayaan sulung yang diraih pada tahun lalu.

Keazaman dan kerja keras Lee Tuck jelas berbaloi apabila dua hari lalu, beliau sekali lagi berjaya mengukir nama di podium tertinggi sambil menjulang Jalur Gemilang sebagai tanda mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan diri beliau, malah mengangkat nama negara di arena sukan yang memerlukan disiplin kecergasan tahap maksimum.

Untuk rekod, HYROX adalah sebuah kejohanan unik yang menggabungkan elemen senaman larian serta senaman berfungsi. Dalam setiap perlumbaan, peserta perlu berlari sejauh satu kilometer (1 km) sebelum meneruskan cabaran di satu stesen senaman berfungsi secara berulang. Format perlumbaan ini mewujudkan suasana mendebarkan dalam dewan yang luas, di mana penonton berpeluang menyokong peserta bermula dari awal perlumbaan sehinggalah ke garisan penamat.

Lee Tuck turut berkongsi perasaan gembiranya melalui satu hantaran di Instagram. Menurut beliau, pengorbanan besar yang dilakukan selama ini berbaloi apabila matlamat yang diimpikan akhirnya berjaya dicapai hasil komitmen penuh yang diberikan.

Sementara itu, nama seorang lagi bekas pemain naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi, kembali meniti di bibir peminat bola sepak tanah air. Kehebatan gelecekannya yang memukau suatu ketika dahulu kini kembali mengingatkan peminat kepada skil unik yang dimilikinya. Mantan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu baru-baru ini mewakili pasukan pilihan Jerman dalam kejohanan Baller League.

Liridon menjadi watak penting yang membantu pasukan pilihan Jerman mencatatkan kemenangan besar 9-1 menewaskan United Kingdom (UK) pada aksi final Baller League yang berlangsung bulan lalu. Aksi berprestij tersebut membuktikan Liridon masih memiliki sentuhan magis meskipun tidak lagi terikat dengan mana-mana kelab tempatan.

Selepas aksi terakhirnya bersama Terengganu pada penghujung tahun 2023, Liridon dilaporkan tidak lagi bersama mana-mana pasukan dalam kancah bola sepak domestik. Namun, bakat dan pengalamannya masih relevan dan menjadi sebutan di peringkat antarabangsa, membuktikan bahawa kualiti pemain naturalisasi Harimau Malaya tetap memberi impak walaupun beraksi di luar tanah air.