Ia termaktub bagi memberi manfaat kepada negara. Bukan sekadar bola sepak, malah langkah ini dijangka mampu menarik kehadiran ramai tenaga mahir profesional, pelabur, saintis mahupun pakar ke Vietnam.
Walaupun secara kebiasaan memiliki dua kewarganegaraan adalah tidak dibenarkan, undang-undang negara itu telah membuka ruang dengan memperkenalkan pengecualian tertentu yang boleh dimanfaatkan.
Mulai 1 Julai 2025, Perhimpunan Kebangsaan Vietnam akan memperhalusi mekanisme terbaharu yang membolehkan individu yang tidak menetap di Vietnam tetap diberi peluang menjadi warganegara, asalkan mereka mempunyai pertalian keluarga di Vietnam. Pertalian yang dimaksudkan merangkumi pasangan, anak, ibu bapa atau datuk serta nenek.
Keputusan ini jelas membawa berita yang cukup baik buat pemain bola sepak berstatus warisan yang berhasrat diserap masuk dalam skuad kebangsaan Vietnam. Ini sekaligus memberi sinar baharu kepada pemain-pemain yang selama ini terkekang dengan syarat ketat naturalisasi negara tersebut.
Langkah ini sememangnya satu perubahan besar kerana sebelum ini, syarat naturalisasi Vietnam sangat ketat terutamanya buat pemain warisan seperti Filip Nguyen dan Jason Pendant (Quang Vinh). Mereka terpaksa tinggal dan beraksi di Vietnam terlebih dahulu sebelum dapat kerakyatan penuh.
Melalui pindaan undang-undang baharu Kewarganegaraan Vietnam yang telah diluluskan, warga asing yang mempunyai pasangan atau pertalian keluarga Vietnam boleh memohon kewarganegaraan tanpa perlu memenuhi syarat bermastautin, syarat fasih berbahasa Vietnam atau bukti kewangan yang kukuh.
Selain itu, kelonggaran ini juga terbuka kepada warga asing yang telah diiktiraf kerana sumbangan istimewa atau manfaat terbukti mereka terhadap pembangunan negara tersebut.
Walau bagaimanapun, setiap pemohon yang mahu memohon perlu tetap mematuhi undang-undang Vietnam yang telah ditetapkan. Mereka juga wajib menghormati budaya serta adat tempatan agar keharmonian dan identiti negara kekal terpelihara.
Dalam perkembangan lain, Vietnam turut akan membenarkan beberapa pemohon mengekalkan dua kewarganegaraan pada satu masa jika mereka mempunyai saudara mara Vietnam. Namun begitu, perkara ini hanya boleh berlaku selepas mendapat kelulusan presiden.
Untuk pemohon yang menetap di luar negara pula, mereka diberi kemudahan untuk mengemukakan permohonan melalui saluran diplomatik iaitu kedutaan atau konsulat Vietnam yang beroperasi di negara masing-masing.
Dasar baharu ini membuktikan Vietnam serius memanfaatkan potensi rakyatnya di luar negara serta pemain warisan yang ingin menyumbang bakat dalam arena bola sepak kebangsaan. Keputusan ini juga diyakini bakal membuka peluang lebih luas kepada tenaga pakar luar untuk hadir, selain menarik pelaburan strategik demi pembangunan ekonomi dan sosial negara pada masa akan datang.