Tan Sri Hamidin Mohd Amin kini sah diangkat sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas keputusan itu diumumkan secara rasmi melalui Kongres Luar Biasa (EGM) yang berlangsung sebentar tadi. Pengiktirafan ini dilihat sebagai tanda penghargaan kepada pengaruh besar beliau bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah di pentas antarabangsa melalui Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF). Sumbangan signifikan Hamidin dalam pembangunan bola sepak tanah air sejak mula menceburi bidang ini nyata menjadi pemangkin kepada penganugerahan gelaran Presiden Kehormat FAM.
Sebagai penerima gelaran berprestij tersebut, Tan Sri Hamidin memikul tanggungjawab yang tidak kurang pentingnya dalam memastikan struktur tadbir urus FAM kekal utuh dan relevan. Antara peranan utama yang dipertanggungjawabkan adalah memberi nasihat kepada Badan-badan Utama FAM. Beliau akan berperanan sebagai penasihat berpengalaman kepada Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Tetap, Ahli Gabungan serta Sekretariat Agung FAM. Dalam kapasiti tersebut, Hamidin dijangka memainkan peranan penting dengan memberi input strategik berasaskan pengalaman luasnya dalam dunia bola sepak.
Peranan Presiden Kehormat ini juga bertujuan untuk mengekalkan kesinambungan dasar FAM di samping menambah baik operasi dalaman organisasi. Malah, pengukuhan tadbir urus turut menjadi agenda utama agar setiap keputusan yang diambil sentiasa berpaksikan prinsip ketelusan dan keberkesanan.
Selain menjadi penasihat, Tan Sri Hamidin juga mempunyai peranan untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif serta Jawatankuasa Tetap FAM melalui jemputan rasmi. Kehadiran beliau dalam mesyuarat ini amat dialu-alukan kerana dilihat mampu memberikan pandangan, nasihat dan idea strategik. Walaupun tidak mempunyai hak untuk mengundi dalam sebarang keputusan mesyuarat, peranan beliau sebagai suara berpengalaman dianggap sangat signifikan bagi memperkukuh perbincangan dan hala tuju organisasi.
Peranan beliau tidak terhenti setakat itu sahaja. Gelaran Presiden Kehormat turut membawa tanggungjawab untuk bertindak sebagai Duta Rasmi FAM. Dalam kapasiti ini, Tan Sri Hamidin boleh mewakili FAM di pelbagai peringkat, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Beliau boleh hadir ke pelbagai acara rasmi, seminar, persidangan, pertemuan diplomatik dan pelancaran inisiatif baharu FAM. Melalui peranan ini, imej FAM akan terus diperkasa manakala reputasi badan induk bola sepak negara di mata dunia dapat dipertingkatkan.
Tambahan pula, seiring kepercayaan yang diberikan, Tan Sri Hamidin boleh dilantik untuk memikul peranan tambahan bergantung kepada keperluan semasa. Jawatankuasa Eksekutif FAM berhak menilai dan memutuskan tanggungjawab tambahan yang sesuai bagi memastikan pengurusan organisasi terus mantap serta selari dengan visi dan misi FAM.
Dengan lantikan ini, ramai pihak menjangkakan bahawa sumbangan Tan Sri Hamidin akan terus membawa impak positif kepada bola sepak Malaysia. Pengaruhnya di peringkat FIFA, AFC dan AFF sememangnya satu aset yang mampu membuka lebih banyak ruang kerjasama antarabangsa dan peluang pembangunan bakat bola sepak negara.
Kesungguhan dan dedikasi beliau yang terbukti sebelum ini menjadi sandaran buat semua pihak dalam keluarga bola sepak tanah air. Masyarakat bola sepak tempatan pastinya berharap agar dengan peranan baharu ini, hala tuju pembangunan bola sepak Malaysia dapat dipacu dengan lebih teratur, sekali gus melonjakkan nama negara di pentas antarabangsa.