sukan

JDT mungkin lepaskan Bergson

Benarkah Bergson da Silva bakal dilepaskan Johor Darul Ta’zim (JDT)? Persoalan ini menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas laporan media Brazil mendakwa bahawa Sport Club do Recife, sebuah kelab ternama di Brazil, sedang memantau perkembangan penyerang prolifik JDT itu.

Ura-ura perpindahan ini timbul apabila laporan tersebut menyatakan bahawa kelab yang bersaing di liga utama Brazil itu berminat untuk mendapatkan khidmat Bergson. Bintang JDT berusia 34 tahun itu telah mencatatkan rekod cemerlang apabila berjaya menjaringkan 150 gol dalam tempoh empat tahun bersama skuad Harimau Selatan.

“Bintang JDT, Bergson dikatakan sedang dipantau oleh Sport Club do Recife. Kelab dari Brazil itu berminat dengan penyerang berbisa berusia 34 tahun yang sudah menjaringkan 150 gol dalam 4 tahun menyarung jersi JDT.

“Sport Club do Recife ketika ini bersaing di liga utama Brazil, pernah sekali memenangi Serie A Brazil pada 1987 dan Copa do Brasil pada 2008,” demikian menurut laporan media Brazil tersebut.

Di pihak lain, situasi ini semakin menimbulkan tanda tanya apabila media sosial rasmi JDT turut memuat naik satu video yang seakan memberi bayangan masa depan Bergson bersama kelab itu. Dalam video yang dikongsikan di platform Johor Southend Tigers (JST), Bergson kelihatan meluangkan masa bersama penyokong setia JDT, ‘Boys of Straits’, selepas berjaya melengkapkan gol ke-100 beliau.

“Bergson meluangkan masa bersama ‘Boys of Straits’ selepas melengkapkan gol ke-100nya dan menutupnya dengan gerakan kegemaran semua orang!,” tulis JST dalam satu hantaran.

Kandungan video dan hantaran tersebut segera mencetuskan pelbagai reaksi daripada penyokong setia JDT. Rata-rata peminat mula berteka-teki mengenai kemungkinan penyerang prolifik itu bakal mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Harimau Selatan pada musim akan datang.

Antara komen yang ditinggalkan oleh penyokong termasuklah, “Aih dah ‘start’ kenangan ini ‘confirm’ pindah ke”, ujar seorang penyokong bernama Mohammad Hazrul. Sementara itu, seorang lagi penyokong, Noor Nizam pula berpendapat, “Kalau JDT ditawarkan yuran perpindahan yang tinggi aku rasa JDT akan jual Bergson ini. Sebab JDT kelab yang berniaga.”

Walau bagaimanapun, setakat ini pihak pengurusan JDT masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung spekulasi perpindahan penyerang kelahiran Brazil itu. Penantian ini pastinya mendebarkan peminat setia Harimau Selatan yang begitu menghargai sumbangan besar Bergson sepanjang beraksi di Liga Malaysia.

Bergson yang terkenal dengan sentuhan penyudah tajamnya telah menjadi tonggak penting dalam memastikan JDT terus mendominasi saingan bola sepak tempatan sejak beberapa musim lalu. Keberadaan beliau di barisan serangan jelas memberi kelebihan besar kepada skuad kendalian pengendali tempatan.

Dengan khabar angin yang semakin bertiup kencang ini, banyak pihak kini menantikan penjelasan daripada kelab berkenaan untuk merungkai persoalan sama ada Bergson akan terus kekal atau kembali beraksi di tanah airnya, Brazil.

Namun, dengan reputasi JDT sebagai kelab yang mempunyai perancangan jangka panjang dan sistem pengurusan yang mantap, ramai pemerhati menjangkakan sebarang keputusan akan dibuat dengan teliti demi kepentingan kelab dan pemain itu sendiri.

Para penyokong pula hanya mampu menunggu dengan penuh sabar sebarang pengumuman rasmi yang bakal dikeluarkan. Sama ada Bergson kekal meneruskan aksi gemilangnya di Stadium Sultan Ibrahim atau sebaliknya, masa sahaja yang akan menentukan hala tuju penyerang prolifik itu.

Bagi para peminat Harimau Selatan, nama Bergson da Silva pastinya terpahat kukuh dalam sejarah kelab selagi mana beliau masih menyarung jersi keramat JDT.