sukan

Lima pemain Perancis cuba pancing Kelab Liga Malaysia

Saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin mencuri tumpuan di peringkat antarabangsa apabila lima pemain import dari Perancis kini bersedia untuk memperkuatkan liga tempatan. Kehadiran mereka menambah warna dalam landskap bola sepak tanah air yang sebelum ini lebih banyak dibarisi pemain import dari Amerika Latin dan Afrika.

Sebelum ini, pasukan-pasukan Liga M lebih gemar mendapatkan pemain dari negara seperti Brazil, Argentina, Chile, Colombia serta beberapa negara di benua Afrika. Namun, penyertaan pemain dari Perancis jarang berlaku walaupun negara tersebut terkenal sebagai lubuk pemain bertaraf dunia.

Kali ini, seramai lima pemain Perancis, iaitu Paulin Mbaye, Gael Mabiala, Rayane Matar, Seif-Dine Hraoubia dan Faris Mikidadi hadir dengan harapan untuk mendapatkan kontrak bersama kelab-kelab tempatan. Mereka kini dalam sesi percubaan dengan beberapa pasukan termasuk dari Liga Super seperti Imigresen FC dan Kuala Lumpur City FC, serta kelab Liga A1 seperti Malaysian University.

Rayane Matar, pemain sayap kanan berusia 26 tahun, menyatakan keterujaannya menyertai sesi uji bakat di Malaysia. “Ini kali pertama saya hadir di Asia dan juga di Malaysia. Saya gembira apabila diberi peluang untuk mencuba nasib menjalani sesi ujian bersama beberapa kelab di Liga M,” katanya.

Beliau yang mempunyai pengalaman bermain di liga Eropah seperti Perancis dan Sepanyol percaya latar belakangnya mampu memberi nilai tambah kepada mana-mana kelab tempatan.

Faris Mikidadi pula mengakui bahawa beliau telah lama mengikuti perkembangan Liga M, khususnya pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT). “Saya mahu cuba dengan mana-mana kelab di sini dan mungkin satu hari jika permainan saya digemari JDT, saya boleh cuba nasib sertai mereka,” katanya.

Beliau menyedari kekuatan dan reputasi JDT di rantau Asia dan mahu membuktikan keupayaannya terlebih dahulu. Pemain yang beraksi sebagai penyerang itu berharap dapat memikat hati pengurusan kelab.

Seif-Dine Hraoubia, pemain pertahanan berusia 22 tahun pula yakin bahawa kelebihan fizikalnya mampu memberi kelebihan dalam liga ini. Dengan pengalaman di liga utama Qatar, beliau menyasarkan untuk bermain di Liga Super Malaysia. “Saya tidak kisah beraksi di mana-mana divisyen di Liga M ini. Kalau boleh saya mahu beraksi di Liga Super kerana saya sudah biasa beraksi di tahap tertinggi,” katanya.

Difahamkan, kemasukan lima pemain ini hanya permulaan apabila dijangka seramai 15 lagi pemain dari Perancis akan tiba untuk menjalani percubaan sebelum Liga Super bermula Ogos ini dan Liga A1 pada Julai.

Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa Liga M semakin mendapat perhatian di peringkat global, bukan hanya daripada pemain Amerika Selatan dan Afrika, malah Eropah juga mula melihat Malaysia sebagai destinasi alternatif untuk mengembangkan kerjaya bola sepak mereka.