Petarung muda negara, Mikail Ghazali atau lebih dikenali dengan gelaran ‘MikiPapa’, tewas kepada jaguh Jepun, Ryu Hanaoka, dalam pertarungan sengit Rise World Series 2025 di Yokohama.
Ryu Hanaoka, yang berusia 21 tahun dan memegang tali pinggang Knock Out Black Super Flyweight, dinobatkan sebagai pemenang melalui keputusan juri selepas tiga pusingan yang mencabar. Walaupun berstatus juara, Hanaoka tidak diberikan jalan mudah untuk menang.
Ini kerana Mikail yang baru berusia 16 tahun, berjaya memberi tekanan berterusan dan menampilkan semangat juang luar biasa. Lihat sahajalah gambar Hanaoka apabila tangannya dijulang sebagai pemenang dengan reaksi kepenatan. Ia cukup menggambarkan betapa sukarnya beliau menewaskan petarung muda dari Malaysia itu.
Mikail, yang mula mendapat perhatian selepas menewaskan petarung dari Maghribi dalam Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025 pada Februari lalu, kembali mencuri tumpuan dengan aksi berani dan penuh disiplin di Yokohama.
Pertarungan menentang Ryu Hanaoka sememangnya dijangka sukar, namun Mikail tidak goyah. Sepanjang tiga pusingan, dia berjaya melancarkan beberapa serangan tepat dan bertahan dengan baik daripada tekanan bertubi-tubi lawan.
Kekalahan ini walau bagaimanapun tidak mengurangkan nilai persembahannya. Malah, pengalaman berdepan petarung senior dan bertaraf dunia memberi nilai penting untuk perkembangan Mikail sebagai atlet profesional masa depan.
Rise World Series kali ini memperlihatkan potensi luar biasa petarung muda negara yang berani mencabar nama besar di pentas antarabangsa. Mikail dijangka akan terus menjadi tumpuan dalam kejohanan akan datang dengan sasaran untuk bangkit lebih kuat.