sukan

Saya ditakdirkan lahir satu era

BEIJING – Nama Chen Long tidak asing dalam dunia badminton antarabangsa. Legenda China ini dikenali ramai kerana ketenangannya di gelanggang, ketekunan dalam latihan, dan sikap profesional sepanjang kerjaya. Namun, bagi Chen Long sendiri, beliau menganggap kejayaan yang diraih tidak akan mungkin tercapai tanpa kehadiran dua bintang besar dalam hidupnya – Lin Dan dan Lee Chong Wei.

Dalam satu temubual bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas dilantik ke dalam Dewan Kemasyhuran, Chen Long mengakui bahawa kehadiran dua tokoh tersebut dalam zamannya menjadi pemangkin kepada pencapaian gemilangnya.

“Saya ditakdirkan untuk dilahirkan pada era ini. Dengan kehadiran Lin Dan dan Lee Chong Wei, saya masih melihat diri saya sebagai junior mencabar senior saya. Mereka juga contoh teladan yang sempurna kepada saya,” jelasnya.

Beliau menyambung, “Saya hanya boleh menjadi diri yang terbaik mengikut kemampuan saya. Setelah memenangi pingat emas Olimpik, saya rasa saya telah melakukannya dengan baik.”

Sepanjang lebih satu dekad, nama Chen Long berada sebaris dengan Lin Dan dan Lee Chong Wei, mewarnai gelanggang badminton dunia dengan saingan yang sentiasa dinantikan. Meskipun fokus utama media sering diberikan kepada duel epik antara Lin dan Lee, kehadiran Chen sebagai ‘pemain ketiga’ memberikan keseimbangan unik dalam dinamika persaingan ini.

Chen Long tidak gemar menonjolkan diri di luar gelanggang, namun prestasinya tidak pernah terpinggir. Beliau dianggap antara pemain paling konsisten dan berdisiplin tinggi, serta mempunyai kemampuan membaca permainan lawan dengan tenang. Kejayaan Chen Long bukan bersandar kepada gaya agresif semata-mata, tetapi lebih kepada strategi dan kesabaran.

Pemain berusia 36 tahun itu kini dikenang sebagai satu-satunya pemain yang memenangi tiga jenis pingat Olimpik dalam tiga temasya berbeza. Di London 2012, beliau membawa pulang gangsa. Empat tahun kemudian di Rio 2016, beliau mengejutkan dunia apabila berjaya menundukkan Lee Chong Wei dalam perlawanan akhir untuk merangkul pingat emas. Karier Olimpiknya dilengkapkan dengan pingat perak di Tokyo 2020.

Kejayaan di Olimpik hanyalah sebahagian daripada kisah cemerlang Chen Long. Beliau turut memenangi dua gelaran Kejohanan Dunia secara berturut-turut pada tahun 2014 dan 2015 – kedua-duanya dengan menewaskan Lee Chong Wei di pentas final.

Meskipun ada pihak menyatakan simpati terhadap nasib Lee yang tidak pernah meraih kejuaraan utama, Chen Long berpendapat bahawa kehebatan sebenar Lee Chong Wei adalah pada semangat juangnya.

“Walaupun amat dikesali Lee gagal memenangi kejuaraan utama, sikapnya yang tidak pernah berkata-kata terhadap setiap perlawanan serta keinginannya untuk menang adalah perkara yang harus kita pelajari,” kata Chen penuh penghargaan.

Bagi Lin Dan pula, Chen Long mengakui beliau adalah idola sejak awal lagi. Lin sentiasa bermain dengan penuh bergaya dan memberi tekanan tinggi kepada setiap lawan yang dihadapinya. Ini mendorong Chen untuk sentiasa bersedia dan berusaha memanfaatkan setiap peluang yang muncul ketika beraksi.

“Lin sentiasa bermain dengan baik, dan saya mahu menjadi seperti dia. Apabila saya menentang mereka, saya memberitahu diri saya saya mesti mengalahkan mereka atau memanfaatkan sebarang peluang. Saya mahu menjadi pasukan ketiga,” ujar Chen lagi.

Sepanjang kerjayanya, Chen Long bertemu Lee Chong Wei sebanyak 28 kali dan menang 13 daripadanya. Sementara itu, daripada 16 pertemuan menentang Lin Dan, Chen berjaya mencatatkan tujuh kemenangan. Walaupun rekodnya tidak sepenuhnya memihak kepadanya, perlawanan menentang dua ikon tersebut menjadikan beliau pemain yang matang dan berwibawa.

Setelah mengakhiri kerjayanya dalam arena kompetitif, Chen Long kini aktif dalam pelbagai inisiatif pembangunan sukan di China. Beliau dilantik sebagai mentor dan duta untuk atlet muda serta kerap menyampaikan ceramah motivasi berkaitan semangat sukan dan kepimpinan. Penganugerahan ke Dewan Kemasyhuran BWF mengiktiraf bukan sahaja kejayaannya sebagai pemain, tetapi juga sumbangannya kepada pembangunan sukan badminton global.

Chen Long tidak melihat dirinya sebagai pesaing semata-mata kepada Lin Dan dan Lee Chong Wei, tetapi sebagai sebahagian daripada generasi emas yang membawa sukan badminton ke tahap antarabangsa yang membanggakan. Beliau yakin bahawa kisah tiga tokoh ini akan terus dijadikan panduan oleh generasi akan datang.

“Era kami telah berlalu, tetapi semangat perjuangan, dedikasi, dan rasa hormat kepada permainan akan kekal selamanya. Saya harap pemain muda hari ini dapat mengambil inspirasi daripada kami, bukan hanya untuk menang, tetapi untuk bermain dengan jiwa,” katanya sebagai penutup.

Recent Posts

  • sukan

Pemain import terbaru Selangor FC bukan calang-calng

Pemain import terbaru kelahiran Brazil, Chrigor Moraes, secara rasmi diumumkan akan mengisi slot import kedua Selangor FC bagi menghadapi kempen…

2 hours ago
  • sukan

TERKINI : Thailand buat kejutan menjelang aksi piala ASEAN B-23

Kem pasukan B-23 Thailand kini bergolak apabila tindakan drastik diambil oleh Persekutuan Bolasepak Thailand (FAT) dengan memecat jurulatih mereka, Takayuki…

2 hours ago
  • sukan

TERKINI: Pearly-Thinaah selesai mesyuarat

Pemain beregu wanita negara, Pearly-Thinaah, telah selesai menghadiri satu pertemuan rasmi bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku…

3 hours ago
  • sukan

Air mata Fazly Mazlan tumpah di Bumi Selangor

  Perjalanan Fazly Mazlan bersama Selangor akhirnya menemui noktah apabila pemain pertahanan kiri itu mengesahkan perpindahan selepas tiga musim berkhidmat…

3 hours ago
  • sukan

Secara rasmi berakhirlah era pemain skuad revolusi JDT musim 2014

Selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) membuat keputusan untuk melepaskan Shafiq Rahim, secara rasmi berakhirlah era pemain yang menjadi tulang belakang…

4 hours ago