Bekas pertahanan skuad kebangsaan, Razman Roslan, menyifatkan penyertaan Malaysia dalam Kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025 sebagai satu langkah strategik dan perlu dipuji, dalam usaha memperkemas persiapan Harimau Malaya menghadapi saingan kelayakan Piala Asia 2027.
Menurut beliau, meskipun lawan Malaysia dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 seterusnya adalah Laos – pasukan yang dianggap lemah berbanding Harimau Malaya – skuad negara perlu terus diuji dengan pasukan-pasukan lebih kuat bagi memastikan prestasi berada di tahap terbaik.
“Pertemuan dengan Laos mungkin kelihatan mudah kepada sesetengah pihak, lebih-lebih lagi selepas kemenangan meyakinkan ke atas Vietnam. Tapi kita harus berfikiran jauh. Harimau Malaya akan bertemu pasukan-pasukan lebih kuat di Piala Asia nanti, jadi penting untuk bersiap sedia dari awal,” katanya.
Razman menambah, penyertaan Malaysia sebagai pasukan jemputan ke kejohanan CAFA yang akan berlangsung pada Ogos depan menunjukkan komitmen tinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memperkasa skuad kebangsaan.
“Pujian harus diberikan kepada FAM. Ini bukan sekadar satu penyertaan biasa. Ia adalah peluang penting untuk mendedahkan skuad kita kepada perlawanan bertaraf tinggi,” ujarnya yang juga anggota skuad Malaysia yang menjuarai Piala AFF pada tahun 2010.
Kejohanan CAFA 2025 dijangka disertai pasukan-pasukan gergasi Asia termasuk Iran dan Uzbekistan. Selain itu, beberapa pasukan lain seperti Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Afghanistan juga dijangka menyertai. Pasukan Oman turut diundang, dan jika semua berjalan lancar, Malaysia bakal mengisi satu slot jemputan daripada Asia Tenggara.
Dalam konteks persediaan, perlawanan menentang Iran – pasukan yang berada di kedudukan ke-18 dunia – dan Uzbekistan (ranking ke-57) dilihat sebagai ujian sebenar kepada kemampuan pasukan kendalian Peter Cklamovski. Pengendali dari Australia itu baru sahaja mula membentuk semula corak permainan skuad negara dengan pendekatan lebih dinamik dan bertenaga.
“Kalau betul kita bakal beraksi di kejohanan itu, ia satu peluang besar. Perlawanan sebegitu akan membantu barisan kejurulatihan mengenal pasti kelemahan taktikal dan fizikal pasukan,” jelas Razman.
Prestasi terkini Harimau Malaya juga berada pada landasan positif selepas kemenangan bergaya ke atas Vietnam dan Nepal, selain keputusan seri yang cukup membanggakan menentang Cape Verde yang berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia.
Razman percaya keputusan-keputusan itu telah menaikkan semangat pemain, namun beliau juga mengingatkan bahawa peningkatan sebenar hanya boleh dicapai dengan mengekalkan konsistensi dalam perlawanan kompetitif berintensiti tinggi.
“Pendedahan seperti ini amat penting. Bila pemain dapat beraksi menentang pasukan lebih kuat, mereka akan dapat banyak input dan pengalaman. Itu akan bantu dalam menghadapi perlawanan lebih besar pada masa akan datang,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa kehadiran Malaysia di CAFA akan membuka mata banyak pihak termasuk lawan-lawan Asia bahawa skuad negara sedang menunjukkan kebangkitan semula di pentas antarabangsa.
“Pasukan besar akan memerhati kita. Jika kita beraksi baik dalam kejohanan itu, ia akan beri keyakinan kepada pemain dan juga membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia sedang bangkit,” tegasnya.
Penganjuran kejohanan pada bulan Ogos juga memberi ruang masa yang cukup buat Cklamovski dan barisan kejurulatihannya mempersiapkan pasukan dari segi taktikal dan fizikal. Ia secara tidak langsung membolehkan jurulatih menilai pemain lama dan baru dalam situasi perlawanan sebenar.
“Kita mesti manfaatkan kejohanan ini sepenuhnya. Mungkin dalam kejohanan ini kita boleh perbaiki kelemahan, kenal pasti kombinasi terbaik dan juga cuba pendekatan baru dalam permainan,” tambah Razman lagi.
Menyedari betapa pentingnya kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung Oktober nanti, Razman berpendapat Malaysia tidak boleh mengambil mudah mana-mana perlawanan, termasuk pertemuan menentang Laos.
“Jangan sekali-kali anggap Laos sebagai lawan mudah. Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Tapi kalau kita mantapkan skuad dengan pendedahan awal seperti di CAFA, saya yakin pasukan akan lebih bersedia,” katanya.
Langkah FAM menghantar pasukan ke kejohanan jemputan seperti CAFA juga dilihat sejajar dengan sasaran jangka panjang pembangunan bola sepak negara. Pendedahan antarabangsa yang berterusan dapat membantu pemain membina keyakinan dan pengalaman bermain di luar zon selesa.
Jika kejayaan dapat diraih di kejohanan ini, ia bukan sahaja memberi semangat kepada pemain dan jurulatih, malah turut memberi keyakinan kepada penyokong bahawa Harimau Malaya berada di landasan tepat menuju kejayaan di pentas Asia.