Skuad Harimau Malaya dijangka menyertai kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025 sebagai pasukan jemputan dalam usaha berterusan mengukuhkan persiapan menjelang Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.
Misi tersebut dilihat semakin jelas apabila kejohanan yang akan berlangsung dari 26 Ogos hingga 9 September itu menjadi peluang terbaik buat skuad negara menambah perlawanan kompetitif dalam kalendar padat menjelang saingan besar tahun-tahun mendatang.
Lebih menarik perhatian, penyertaan ini membuka peluang kepada Harimau Malaya untuk menentang Iran, pasukan yang kini berada di tangga ke-18 ranking dunia FIFA. Iran merupakan salah satu pasukan elit benua Asia dan menjadi cabaran besar buat anak buah Peter Cklamovski.
Peluang menentang gergasi Asia itu dianggap amat bermakna buat Harimau Malaya yang kini sedang giat membina skuad mantap menjelang kempen kelayakan besar akan datang. Ini juga menjadi platform buat pasukan menguji pemain di pelbagai posisi termasuk barisan pertahanan dan tengah.
Selain Iran, kejohanan ini bakal menyaksikan kehadiran lapan pasukan lain iaitu Uzbekistan (ranking 57), Kyrgyzstan (103), Tajikistan (104), Turkmenistan (142), Afghanistan (160) serta dua pasukan jemputan Malaysia dan Oman (77).
Sebelum ini, Russia dijangka menyertai CAFA 2025, namun mereka menarik diri daripada kejohanan, sekali gus membuka ruang kepada Malaysia untuk menyertai sebagai wakil Asia Tenggara.
Kejohanan ini menjadi platform terbaik buat skuad negara selepas mencatatkan keputusan positif dalam beberapa perlawanan antarabangsa sebelum ini. Antaranya kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam, serta keputusan seri menentang pasukan kuat Cape Verde yang berada di ranking ke-72 dunia.
Malaysia kini berada dalam prestasi memberangsangkan selepas mencipta kemenangan meyakinkan 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Dengan reputasi yang semakin meningkat, penyertaan dalam Piala Negara-Negara CAFA 2025 bakal memberikan pendedahan lebih luas buat pemain kebangsaan. Tambahan pula, ia menjadi medan mengasah kekuatan mental serta taktikal menjelang saingan lebih tinggi nanti.