Empat pemain badminton profesional telah mengikat komitmen rasmi menyertai program Road To Gold (RTG), sekali gus memperkukuh lagi matlamat jangka panjang negara dalam misi ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam, menyatakan bahawa program tersebut kini berada pada landasan yang sangat baik apabila terus mendapat kepercayaan daripada pemain elit tanah air.
“Walaupun rundingan mengambil masa yang agak lama, beregu lelaki nombor satu dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berpuas hati dengan khidmat yang RTG tawarkan untuk meningkatkan prestasi mereka,” jelas Stuart.
Beliau menyifatkan penglibatan pemain-pemain tersebut sebagai petanda bahawa pendekatan RTG diterima dan difahami oleh atlet serta jurulatih.
“Saya rasa ini petanda positif bahawa program berkenaan diterima dengan baik oleh semua pihak. Fokus program ini untuk memberi sokongan prestasi dan saya percaya itulah yang akan diterima oleh atlet,” katanya ketika ditemui semasa program ‘Spotlight – Gangguan Seksual dalam Sukan’.
Menurut Stuart, RTG berperanan sebagai penyokong prestasi, manakala kejayaan terletak di tangan atlet itu sendiri. “Ia terpulang kepada atlet pada akhirnya, kami hanya menyediakan yang terbaik,” katanya.
Dengan temasya Olimpik LA28 masih berbaki beberapa tahun, Stuart menekankan bahawa penyertaan awal ini memberi kelebihan kepada atlet untuk bersedia dari pelbagai sudut fizikal, teknikal dan mental.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengumumkan penyertaan rasmi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie ke dalam program RTG untuk kitaran tahun 2025.
Sebelum ini, lapan pemain badminton telah diumumkan menyertai RTG, antaranya beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah dan pasangan campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Program RTG turut menyaksikan penyertaan atlet dari pelbagai sukan, termasuk jaguh angkat berat Mohd Aniq Kasdan, pelumba trek Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan pemain skuasy S Sivasangari.
Selain itu, program Fast Track RTG juga disertai oleh trio memanah wanita negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh, Nurul Azreena Fazil serta pemain skuasy lelaki, Ng Eain Yow.