sukan

Terkini: Harimau Malaya bakal sertai Piala CAFA , berpontesi jumpa pasukan gergasi

Skuad bola sepak kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya, dilaporkan menerima jemputan eksklusif untuk menyertai Kejohanan Piala Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) yang dijadual berlangsung dari 26 Ogos hingga 9 September ini. Kejohanan itu bakal menyaksikan penyertaan lapan pasukan, termasuk beberapa pasukan gergasi dari rantau Asia Tengah dan Asia Barat, menjadikan penyertaan Malaysia satu langkah strategik dalam memperkukuhkan prestasi dan kedudukan di peringkat antarabangsa.

Menurut wartawan sukan Asia Tengah, Thomas Bullock, Malaysia menyertai senarai pasukan jemputan yang lengkap terdiri daripada Oman, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, Afghanistan dan pasukan kedua terbaik Asia serta ke-18 terbaik dunia, Iran.

Kehadiran Malaysia dalam kejohanan prestij ini dilihat sebagai pengiktirafan kepada peningkatan prestasi skuad negara, terutamanya selepas kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini. Ia bukan sahaja membuka mata pasukan lain terhadap kekuatan baharu Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski, tetapi juga menambah nilai pasaran dan profil antarabangsa pasukan negara.

Penyertaan Malaysia dalam Kejohanan CAFA adalah signifikan kerana ia menawarkan platform untuk menguji kekuatan sebenar pasukan negara menentang pasukan dari pelbagai latar belakang dan corak permainan yang berbeza.

Berdasarkan maklumat terkini, Iran yang merupakan pasukan terbaik dalam kejohanan itu berada di ranking ke-18 dunia dan kedua di Asia. Uzbekistan pula tidak kurang hebatnya, berada di kedudukan ke-58 dunia dan ketujuh terbaik Asia. Pasukan-pasukan lain seperti Kyrgyzstan (103 dunia), Tajikistan (105), Turkmenistan (144), Afghanistan (151), serta Oman (77) juga mempunyai reputasi tersendiri.

Ini menjadikan kejohanan tersebut sebagai medan terbaik untuk Malaysia mengukur kemampuan barisan pemain menentang pasukan yang beraksi secara konsisten di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

Peluang Tingkatkan Ranking FIFA

Paling menarik, penyertaan dalam Kejohanan CAFA dijangka membantu Harimau Malaya melonjakkan kedudukan dalam ranking FIFA. Berdasarkan kiraan tidak rasmi, Malaysia dijangka memperbaiki kedudukan daripada ranking ke-131 dunia kepada sekitar tangga ke-126 dalam kemas kini akan datang.

Kejohanan ini memberi peluang besar untuk skuad negara mengutip lebih banyak mata ranking sekiranya berjaya meraih kemenangan atau keputusan seri menentang pasukan-pasukan yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia.

Dengan sistem kiraan mata FIFA yang menilai kekuatan lawan dalam sesuatu perlawanan antarabangsa rasmi, kejohanan ini akan menjadi ‘ladang mata’ yang sangat penting buat Malaysia, terutama menjelang pusingan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia yang akan datang.

Kehadiran Malaysia dalam kejohanan ini turut memperlihatkan keberanian dan perancangan jangka panjang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Cklamovski sendiri dalam memperkukuhkan skuad kebangsaan. Ini sejajar dengan agenda pembaharuan yang digerakkan oleh Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang mahu melihat skuad Harimau Malaya menjadi kuasa bola sepak serantau dan mampu bersaing di pentas Asia secara konsisten.

Penyertaan dalam kejohanan luar kawasan seperti CAFA juga memberi nilai tambah kepada para pemain yang akan berdepan cuaca, altitud dan tekanan budaya bola sepak yang berbeza — sesuatu yang penting untuk pembentukan mentaliti kompetitif dalam pasukan.

Bagi pemain, kejohanan seperti ini akan menambah pengalaman serta meningkatkan motivasi untuk bersaing di peringkat lebih tinggi. Ia juga menjadi pentas bagi pemain tempatan dan warisan membuktikan kebolehan mereka dalam situasi berintensiti tinggi. Tidak mustahil, aksi cemerlang di kejohanan ini akan membuka peluang kepada beberapa pemain kebangsaan untuk dipancing kelab-kelab luar negara, sekali gus meningkatkan kualiti keseluruhan skuad.

Penyertaan dalam CAFA dilihat sebagai satu langkah berani yang turut disambut positif oleh penyokong bola sepak tempatan. Rata-rata penyokong menyifatkan tindakan FAM menerima jemputan itu sebagai langkah tepat dalam usaha membina skuad yang kompetitif, dengan menambah jumlah perlawanan berkualiti menentang pasukan luar Asia Tenggara.

Platform ini juga boleh dijadikan penanda aras bagi persiapan menghadapi perlawanan penting menentang Laos dalam kelayakan Piala Asia pada bulan Oktober nanti.

Penyertaan Harimau Malaya dalam Kejohanan Piala CAFA 2024 bukan sekadar simbolik jemputan antarabangsa, tetapi merupakan peluang sebenar untuk memajukan bola sepak negara dari segi prestasi, pengalaman dan ranking FIFA. Jika dimanfaatkan sepenuhnya, kejohanan ini boleh menjadi detik penting dalam sejarah kebangkitan semula Harimau Malaya.

Dengan semangat dan keyakinan yang semakin meningkat, ditambah sokongan padu penyokong serta perancangan taktikal yang mantap, skuad negara diyakini mampu mencipta kejutan dan seterusnya membawa pulang reputasi yang membanggakan buat negara.