HANOI, 17 Jun 2025 – Kekalahan memalukan 0-4 kepada Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun lalu bukan sekadar menyukarkan laluan Vietnam ke pusingan akhir kejohanan, malah memberikan impak besar terhadap pendekatan pembangunan pasukan bola sepak negara itu.
Kekalahan tersebut dilihat telah mencetuskan tindakan luar jangka daripada Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF), apabila laman bola sepak serantau, Seasia Goal, melaporkan bahawa badan induk itu telah menyenaraikan lebih 100 pemain warisan Vietnam yang kini bermain di luar negara, terutamanya di benua Eropah.
Langkah drastik itu dipercayai bertujuan memperkasakan kembali skuad kebangsaan dengan menjejaki dan memanggil bakat-bakat yang mempunyai pertalian darah Vietnam, dalam usaha memperbaiki prestasi skuad kebangsaan dalam tempoh singkat.
Sekiranya laporan itu terbukti benar, Vietnam dilihat akan mengikut jejak langkah yang telah diambil oleh negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia yang giat memperkukuh pasukan masing-masing menerusi pengambilan pemain warisan atau naturalisasi dari luar negara.
Menurut Seasia Goal menerusi hantaran di laman Facebook rasmi mereka, senarai tersebut dikemas kini oleh pasukan teknikal VFF dan telah diserahkan kepada ketua jurulatih, Kim Sang Sik untuk tindakan selanjutnya.
“Senarai itu dikemas kini oleh pasukan teknikal VFF, dan ketua jurulatih, Kim Sang Sik mula memantau serta menjemput sebahagian daripada mereka untuk menyertai pasukan kebangsaan (Vietnam),” menurut kenyataan laman tersebut.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa beberapa pemain dalam senarai tersebut berusia sekitar 20 tahun dan ada di antaranya yang kini bermain di liga utama Eropah, menjanjikan potensi besar sekiranya dapat diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.
Namun, pelaksanaan rancangan tersebut dijangka berdepan cabaran besar memandangkan undang-undang Vietnam dilihat agak ketat dalam urusan pemberian kewarganegaraan.
“Namun, ia bukan mudah kerana undang-undang Vietnam menetapkan bahawa pemain berkenaan perlu menyertai liga domestik terlebih dahulu sebelum boleh menukar kewarganegaraan,” tambah laporan itu lagi.
Kenyataan itu menimbulkan persoalan besar tentang keseriusan VFF untuk benar-benar melaksanakan usaha tersebut, memandangkan kekangan dari sudut dasar negara berpotensi menjadi penghalang utama.
“Adakah VFF akan benar-benar serius dalam menjejaki bakat warisan mereka seperti yang dilakukan Indonesia dan Malaysia? Atau adakah dasar negara yang ketat akan sekali lagi menjadi penghalang?,” soal Seasia Goal.
Menambah perbincangan hangat itu, seorang pengguna Facebook dipercayai penyokong Vietnam, Nguyen An Phong turut berkongsi pandangan dan penjelasan mengenai kesukaran untuk seseorang memperoleh kewarganegaraan Vietnam.
Beliau menjelaskan bahawa undang-undang Vietnam menetapkan syarat bahawa individu perlu mempunyai alamat kediaman tetap di negara itu sebelum layak memohon kewarganegaraan.
“Laluan yang biasa adalah seseorang perlu mendapatkan taraf penduduk tetap terlebih dahulu sebelum boleh memohon pasport Vietnam walaupun mereka berdarah campuran dan lahir di luar negara (tetapi bukan warganegara Vietnam),” ujar Nguyen.
Menurut beliau lagi, kes seperti penjaga gol Filip Nguyen, Dang Van Lam, dan pemain muda Pedant Quang Vinh yang perlu pulang dan menetap di Vietnam untuk tempoh tertentu sebelum layak memohon kewarganegaraan, menunjukkan kerumitan proses itu.
“Jadi saya tidak fikir Vietnam mampu melaksanakan pendekatan seperti yang dilakukan Indonesia dan Malaysia. Pada masa yang sama, walaupun melakukan perkara yang sama, Vietnam mungkin tetap akan tewas kepada pasukan Indonesia dan Malaysia yang ada sekarang,” tambah beliau secara sinis.
Kekalahan kepada Malaysia bukan sahaja memberi tekanan terhadap pengurusan pasukan Vietnam, tetapi turut menyempitkan peluang mereka untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung di Arab Saudi.
Dalam carta terkini Kumpulan F, Vietnam kini menduduki tempat kedua dengan hanya tiga mata, manakala Malaysia selesa di tangga teratas dengan enam mata. Kedudukan ini meletakkan Vietnam dalam kedudukan genting untuk mara ke pusingan seterusnya sekiranya gagal mencatat keputusan cemerlang dalam baki perlawanan akan datang.
Ketika peminat dan pengkritik bola sepak Vietnam mula mempersoalkan arah tuju skuad kebangsaan, tindakan VFF dalam mengenal pasti pemain warisan mungkin menjadi penyelesaian jangka pendek, namun halangan birokrasi dan undang-undang dilihat masih menjadi cabaran utama.
Apapun, perkembangan ini memperlihatkan bahawa kegagalan dalam satu perlawanan mampu mencetuskan perubahan besar dalam dasar dan perancangan bola sepak sesebuah negara. Sama ada Vietnam mampu mengatasi cabaran dan bangkit dalam kelayakan yang masih berbaki, hanya masa yang akan menentukan.
sumber:- BH
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – Kemenangan bergaya skuad Harimau Malaya ke atas Vietnam dengan… Read More
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – Enam tahun lalu, di sebalik kesibukan latihan dan persaingan,… Read More
HO CHI MINH CITY, 17 Jun 2025 – Perjalanan skuad muda wanita Indonesia dalam saingan… Read More
KUALA TERENGGANU, 17 Jun 2025 – Peminat setia Terengganu FC (TFC) terpaksa 'berpisah' dengan penyerang… Read More
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Prestasi cemerlang dan corak permainan berkualiti tinggi yang dipamerkan skuad… Read More
JAKARTA – Bekas tonggak import Selangor FC dan pemain tengah kebangsaan Indonesia, Evan Dimas, mencetuskan… Read More