Skuad Harimau Malaya tidak boleh terlalu selesa meskipun memiliki peluang cerah untuk meraih tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi susulan kejayaan membelasah Vietnam 4-0, Selasa lalu.
Kemenangan besar yang dilakar Harimau Malaya tempoh hari bukan sekadar menceriakan penyokong tempatan, malah ia turut mencetuskan keyakinan tinggi dalam kalangan pemerhati bola sepak tanah air mengenai kemampuan skuad negara dalam mengharungi saingan kelayakan. Namun, dalam keghairahan itu, penting untuk pasukan bimbingan Cklamovski terus kekal fokus dan tidak terleka dengan kedudukan semasa.
Kemenangan besar itu bukan sahaja meletakkan Malaysia di kedudukan teratas Kumpulan F dalam kempen kelayakan pusingan ketiga, malah ia turut memberi implikasi besar terhadap Vietnam selaku pasukan gergasi Asia Tenggara dan menghuni ranking 109 dunia.
Pencapaian itu membuka laluan lebih luas buat Malaysia untuk layak ke Piala Asia secara merit, namun pada masa yang sama turut menyulitkan laluan Vietnam. Sebagai pasukan yang sebelum ini sering menjadi duri dalam daging kepada Harimau Malaya, kekalahan itu merupakan satu tamparan hebat buat Naga Emas.
Selain meletakkan Vietnam dalam situasi sukar untuk meraih tiket ke Arab Saudi, ia juga boleh dianggap kekalahan memalukan buat skuad Naga Emas yang tidak pernah kalah kepada Harimau Malaya sejak 11 tahun lalu.
Statistik menunjukkan bahawa Vietnam memiliki rekod cemerlang menentang Malaysia sejak sekian lama. Justeru, kekalahan dengan jaringan besar kali ini sudah tentu memberi kesan besar kepada moral mereka, malah turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan media serta peminat di negara itu.
Justeru, ramai yang beranggapan skuad kendalian Kim Sang Sik itu akan merangka strategi baharu untuk memulihkan reputasi mereka terutama bagi menghadapi aksi berdepan Malaysia dalam perlawanan terakhir Kumpulan F di gelanggang mereka, 31 Mac tahun depan.
Perlawanan pada tarikh itu dijangka menjadi penentu kepada nasib kedua-dua pasukan dalam usaha untuk layak ke kejohanan terbesar di Asia. Bagi Vietnam, ia bukan sahaja tentang tiket ke Arab Saudi, tetapi juga maruah bola sepak mereka yang tercalar.
Berbaki kira-kira sembilan bulan sebelum perlawanan itu, tidak mustahil Vietnam juga akan mengikut langkah Malaysia dengan berusaha membawa masuk pemain warisan dari luar negara.
Langkah Malaysia membawa masuk pemain warisan seperti Joao Figueiredo, dilihat membuahkan hasil segera. Ia memberi inspirasi kepada negara-negara lain di rantau ini, termasuk Vietnam, untuk menilai semula pendekatan pembangunan skuad kebangsaan mereka.
Malah, media Vietnam, SOHA turut mencadangkan bahawa pasukan negara itu perlu mendapatkan pemain naturalisasi atau warisan sebagai langkah paling cepat untuk meningkatkan kekuatan Naga Emas.
Cadangan itu menandakan perubahan pemikiran dalam kalangan pemerhati bola sepak Vietnam yang sebelum ini lebih selesa menggunakan pemain tempatan sepenuhnya. Namun, tekanan daripada prestasi semasa mungkin memaksa mereka untuk berfikir lebih praktikal.
Laman berkenaan bagaimanapun mengakui ia bukan mudah untuk dilakukan Vietnam kerana sumber pemain yang terhad serta perlu berperang dengan masa bagi menghadapi Malaysia yang ia dijangka menjadi perlawanan penentuan pasukan mana yang akan layak ke Piala Asia 2027.
Vietnam berdepan kekangan dari segi pemilihan pemain warisan kerana bilangan pemain berketurunan Vietnam yang bermain di luar negara dalam liga kompetitif tidak sebanyak negara lain. Di samping itu, masa yang semakin suntuk juga menjadi faktor penentu.
Vietnam dijangka akan kembali mendapat sentuhan pemain naturaliasi mereka yang juga penjaring terbanyak Piala ASEAN 2024, Nguyen Xuan Son yang tidak bersama skuad itu ketika berdepan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kerana masih dalam proses pemulihan.
Kembalinya Xuan Son boleh menjadi kekuatan utama buat Vietnam. Beliau merupakan aset penting dalam jentera serangan dan ketiadaannya dalam pertemuan terakhir jelas dirasai. Kehadiran semula pemain itu bakal memberi dimensi baharu kepada pasukan mereka menjelang pertemuan semula dengan Malaysia.
Selepas tewas kepada Malaysia, Xuan Son atau nama asalnya Rafaelson Fernandes turut membuat catatan ringkas “31/03/26” di laman Instagram Story yang mana seakan memberi bayangan skuad itu akan membalas dendam terhadap Malaysia pada aksi terakhir Kumpulan F.
Catatan ringkas itu telah mendapat perhatian ramai dan ditafsirkan sebagai tanda bahawa Vietnam tidak akan membiarkan kekalahan di Bukit Jalil berlalu begitu sahaja. Ia turut memberi isyarat bahawa perlawanan akan datang bakal berlangsung dalam suasana tegang dan penuh emosi.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar tidak menolak kemungkinan Vietnam akan cuba mencari jalan untuk bangkit termasuk berusaha mendapatkan pemain warisan seperti yang dilakukan Harimau Malaya.
Pandangan beliau menggambarkan bahawa perkembangan bola sepak moden memerlukan adaptasi strategi, termasuk dari segi pemilihan pemain yang lebih bersifat global.
“Tidak mustahil Vietnam akan ikut cara Harimau Malaya, kita ambil pemain warisan kelas A dan mereka juga mungkin akan usaha dapatkan pemain yang gred A. Bukan saja nak lawan Malaysia, tapi mereka juga nak lawan negara lain.
“Malah, perlawanan pada Mac tahun depan adalah penentu dan sudah pasti Vietnam tidak mahu dikecewakan di tempat sendiri. Jadi, Harimau Malaya harus bersedia sepenuhnya dan berwaspada kerana Vietnam akan bangkit.
“Saya percaya barisan kejurulatihan Harimau Malaya akan membuat perancangan rapi seperti yang dilakukan ketika menewaskan Vietnam 4-0,” katanya kepada BH Sukan.
Azlan Johar turut menekankan bahawa kemenangan besar tempoh hari harus dijadikan pemangkin untuk memperkukuh lagi taktikal dan mentaliti skuad negara menjelang baki perlawanan kelayakan.
Sebelum berdepan Vietnam, skuad negara terlebih dahulu akan menghadapi pasukan ranking 190 dunia, Laos dua kali pada 9 dan 14 Oktober depan sebelum berdepan Nepal (175) pada 18 November depan.
Tiga perlawanan itu merupakan peluang terbaik untuk Harimau Malaya mengekalkan momentum, mencuba formasi baharu serta memperbaiki sebarang kelemahan sebelum pertembungan getir dengan Vietnam yang bakal menentukan hala tuju skuad negara ke Piala Asia 2027.
sumber:- BH
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – Kemenangan bergaya skuad Harimau Malaya ke atas Vietnam dengan… Read More
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – Enam tahun lalu, di sebalik kesibukan latihan dan persaingan,… Read More
HANOI, 17 Jun 2025 – Kekalahan memalukan 0-4 kepada Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Asia… Read More
HO CHI MINH CITY, 17 Jun 2025 – Perjalanan skuad muda wanita Indonesia dalam saingan… Read More
KUALA TERENGGANU, 17 Jun 2025 – Peminat setia Terengganu FC (TFC) terpaksa 'berpisah' dengan penyerang… Read More
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Prestasi cemerlang dan corak permainan berkualiti tinggi yang dipamerkan skuad… Read More