Skuad hoki negara mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk bangkit mengikat Pakistan 3-3 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, Kejohanan Piala Negara-Negara 2025 di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Perlawanan yang dinanti-nantikan oleh para peminat hoki tanah air itu berlangsung dalam suasana cukup hangat, dengan sokongan padu penyokong yang membanjiri stadium sejak awal petang. Aksi antara dua negara yang memiliki sejarah persaingan panjang dalam arena hoki itu menyaksikan pelbagai detik menarik serta jaringan yang cukup mendebarkan.
Pakistan terlebih dahulu membuka tirai jaringan dalam suku pertama selepas pukulan dari jarak jauh yang dilakukan Sufyan Khas mudah disempurnakan Nadeem Ahmad untuk pasukan lawan mendahului 1-0. Gol awal itu sedikit mengejutkan barisan pertahanan Malaysia yang kelihatan masih mencari rentak permainan.
Begitupun, selang tiga minit kemudian pula menyaksikan The Green Shirts menggandakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti selepas bola terkena kaki pertahanan negara. Insiden tersebut berlaku ketika barisan pertahanan negara cuba menyekat gerakan pantas pasukan lawan, namun bola yang melantun terkena kaki seorang pemain menyaksikan pengadil menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada Pakistan.
Tugasan itu mudah disempurnakan Abdul Rehman apabila bola menerjah gawang untuk menewaskan Hafizuddin Othman sekali lagi dan keputusan 2-0 itu kekal hingga tamat separuh masa pertama. Jaringan tersebut ternyata memberikan kelebihan awal buat Pakistan yang dilihat mendominasi perlawanan dari segi penguasaan bola dan peluang di hadapan gol sepanjang 30 minit pertama permainan.
Namun begitu, sebaik memasuki separuh masa kedua, skuad negara tampil dengan semangat dan taktikal yang lebih tersusun, cuba mengurangkan kesilapan dan mula melancarkan serangan yang lebih tersusun ke arah gawang lawan.
Suku keempat pula menyaksikan anak buat Sarjit Singh turun ke gelanggang dengan dengan corak permainan yang lebih agresif mengasak kubu pasukan lawan dan hasilnya Fitri Saari menjaringkan gol pertama negara untuk merapatkan jurang kedudukan menjadi 1-2. Jaringan tersebut nyata menaikkan semangat pemain Malaysia dan menghidupkan kembali harapan penyokong di stadium.
Peluang Malaysia kemudian hadir lagi menerusi pukulan sudut penalti yang dinoktahkan oleh flicker negara, Syed Syafiq Syed Cholan. Gerakan cantik yang diatur dari bahagian tengah berjaya memerangkap pertahanan Pakistan, memaksa mereka memberikan sudut penalti kepada pasukan negara. Syed Syafiq mengambil tanggungjawab itu dan menyempurnakannya dengan tenang untuk menyamakan kedudukan 2-2, sekaligus menggamatkan suasana di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Namun begitu, anak buah Tahir Zaman mendahului Malaysia sekali lagi ketika perlawanan menuju enam minit terakhir, apabila satu gerakan pantas dari sebelah kiri padang menghasilkan jaringan ketiga Pakistan. Gol itu kembali meletakkan tekanan ke atas skuad negara yang sebelum itu sedang berada di atas momentum kebangkitan.
Walaupun masa semakin suntuk, semangat juang yang tinggi terus dipamerkan oleh barisan pemain negara yang enggan mengaku kalah. Mereka terus menyerang dengan pelbagai corak permainan bagi mencari gol penyamaan, dan usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil.
Kebangkitan sekali lagi disempurnakan oleh pemain terbaik perlawanan iaitu Syed Syafiq bagi memastikan Malaysia meraih satu mata berharga dalam aksi pertama di Bukit Jalil malam ini. Jaringan tersebut menjadi simbol kebangkitan skuad negara yang tidak mudah mengalah meskipun dikejutkan dengan dua gol awal dari Pakistan.
Syed Syafiq bukan sahaja menyumbang dua jaringan penting, tetapi turut memainkan peranan besar dalam menggerakkan jentera tengah dan melakukan tekanan ke atas barisan pertahanan lawan. Persembahan cemerlang beliau diiktiraf apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Keputusan seri ini juga memberikan sedikit kelegaan kepada kem Malaysia, yang menganggap satu mata dalam perlawanan pembukaan adalah permulaan yang baik untuk terus memberi saingan dalam saingan kumpulan B. Dengan beberapa perlawanan penting yang menanti selepas ini, skuad negara diyakini mampu memperbaiki persembahan dan meraih keputusan lebih positif dalam aksi seterusnya.
Kejohanan Piala Negara-Negara 2025 ini turut menjadi medan penting bagi skuad kebangsaan untuk memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia serta mempamerkan kemampuan sebenar menghadapi kejohanan-kejohanan besar yang akan datang.
Dengan semangat yang ditunjukkan dalam perlawanan ini, harapan rakyat Malaysia kini tertumpu kepada usaha berterusan skuad negara untuk mencapai kejayaan lebih bermakna dalam perlawanan seterusnya dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.