sukan

Lima tonggak warisan pertahan Jersi Malaysia sehingga ke penghujung

Lima pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya menyuarakan komitmen tinggi dan keazaman untuk terus berjuang bersama pasukan negara dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Menerusi perkongsian di laman sosial masing-masing, kelima-lima tonggak berkenaan mengakui tidak sabar untuk kembali menyarung jersi kebangsaan dalam aksi antarabangsa akan datang.

Antara yang mencuri tumpuan ialah penyerang berdarah Argentina-Malaysia, Rodrigo Holgado yang menzahirkan rasa bangga dapat mewakili Malaysia. Holgado turut berjanji untuk terus memberikan yang terbaik meskipun perlu berkorban berjauhan daripada keluarga demi negara.

“Sangat gembira untuk mewakili negara yang indah dan memenuhi impian dalam kerjaya bola sepak saya.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat, terima kasih kepada rakan sepasukan saya atas kerjasama, badan teknikal dan rakyat Malaysia yang membuatkan saya berasa sangat gembira dari hari pertama.
“Saya berjanji untuk terus mempertahankan jersi negara sehingga ke penghujung yang saya selalu lakukan di mana termasuk meninggalkan kehidupan (keluarga) untuk membantu pasukan meraih gelaran,” katanya yang kini beraksi di Colombia.

Nada sama turut disuarakan tonggak pertahanan Sepanyol-Malaysia, Jon Irazabal yang tampil buat kali pertama bersama skuad kebangsaan ketika menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu.

Irazabal menyifatkan penampilan sulung itu sebagai satu penghormatan besar dan berharap dapat terus menyumbang bakti kepada Harimau Malaya dalam perlawanan-perlawanan akan datang, termasuk aksi antarabangsa pada jendela FIFA September nanti dan pertemuan menentang Laos dalam kempen kelayakan.

“Satu penghormatan menyarung jersi Malaysia dalam penampilan sulung saya. Terima kasih di atas sokongan yang hebat, semuanya tampak mudah apabila sentiasa mendapatkan sokongan pasukan.
“Saya amat menghargai peluang diberikan dan saya bersedia untuk pertarungan berikutnya selepas ini,” kata Irazabal yang membentuk gandingan mantap di bahagian pertahanan bersama seorang lagi pemain warisan baharu, Facundo Garces.

Dalam pada itu, pemain sayap warisan, Imanol Machuca yang turut membuat penampilan sulung ketika aksi menentang Vietnam, menyifatkan kemenangan besar itu hanyalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar buat dirinya dan pasukan negara.

“Malam yang tidak akan dilupakan, terima kasih atas sokongan semua. Ini hanyalah permulaan baharu,” katanya ringkas.

Kejayaan skuad Harimau Malaya kendalian jurulatih Peter Cklamovski menundukkan Vietnam 4-0 bukan sahaja menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas seteru Asia Tenggara itu, malah melonjakkan moral pasukan ke tahap lebih tinggi menjelang aksi-aksi kelayakan seterusnya.

Dengan kemenangan tersebut, Malaysia kini mendahului tangga teratas Kumpulan F dengan enam mata maksimum selepas dua perlawanan, sekaligus meletakkan pasukan negara dalam landasan kukuh untuk menempah tiket ke Piala Asia 2027.

Sebelum ini, Harimau Malaya turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam aksi pembukaan kumpulan pada Mac lalu. Hanya juara kumpulan yang akan layak secara automatik ke kejohanan tersebut.

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain warisan ini dilihat sebagai satu lonjakan baharu dalam misi Malaysia untuk bersaing di pentas lebih tinggi. Kemasukan mereka bukan sahaja menambah kekuatan teknikal, malah memberi impak psikologi kepada barisan pemain tempatan untuk terus meningkatkan prestasi masing-masing.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini giat menjalankan inisiatif pencarian pemain warisan dari seluruh dunia yang layak beraksi untuk negara. Ini termasuklah mereka yang memiliki darah keturunan Malaysia serta memenuhi kriteria ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kelima-lima tonggak yang telah menyatakan komitmen mereka itu terdiri daripada Rodrigo Holgado (Argentina-Malaysia), Jon Irazabal (Sepanyol-Malaysia), Facundo Garces (Argentina-Malaysia), Imanol Machuca (Argentina-Malaysia), dan Joao Figueiredo (Brazil-Malaysia), semuanya telah membuat penampilan pertama dalam perlawanan menentang Vietnam baru-baru ini.

Dengan semangat dan kesungguhan yang dipamerkan oleh kesemua pemain ini, peminat bola sepak tanah air kini menaruh harapan tinggi agar Harimau Malaya dapat meneruskan rentak cemerlang dan mencipta sejarah layak ke kejohanan berprestij di Asia pada tahun 2027.

 

sumber:- HM

Recent Posts

  • sukan

Shin Tae-yong beri lampu hijau ambil alih jawatan ketua jurulatih

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong, memberi bayangan bahawa beliau bersedia untuk mempertimbangkan sebarang… Read More

1 hour ago
  • sukan

Komen tanpa berselindung Jordi Amat selepas sah berpisah dengan JDT

JOHOR BAHRU, 17 Jun – Bekas kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat, secara rasmi… Read More

3 hours ago
  • sukan

Tonggak Warisan Malaysia ke pasukan baharu

 Selepas hampir tiga tahun beraksi cemerlang bersama kelab Sabah FK, bintang warisan Harimau Malaya, Jon… Read More

3 hours ago
  • sukan

Media Indonesia campur tangan , perjelas perbezaan pemain warisan

Perbandingan antara kaedah naturalisasi pemain bola sepak di Malaysia dan Indonesia kembali hangat diperkatakan, susulan… Read More

5 hours ago
  • sukan

Aaron ‘sekolahkan’ BWF

 Pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia, mencadangkan agar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mempertimbangkan penggunaan… Read More

6 hours ago
  • sukan

Keputusan aksi pertama Pan Gon di Piala Dunia Kelab

Hasrat kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan HD, untuk menakluk Kumpulan F dalam penampilan sulung mereka… Read More

7 hours ago