sukan

“Bangga dengan kamu anakku” — Holgado

Meskipun tidak lahir di Malaysia, semangat perjuangan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh penyerang warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado membuktikan bahawa beliau benar-benar berjiwa Malaysia.

Pemain berdarah campuran Malaysia-Argentina itu menunjukkan semangat luar biasa apabila sanggup melakukan penerbangan sejauh lebih 30 jam dari Colombia ke Malaysia semata-mata untuk menyarung jersi kebangsaan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Vietnam, yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu.

Keputusan Holgado untuk kembali ke tanah air demi pasukan negara itu bukan sahaja membuktikan kesetiaannya kepada skuad Harimau Malaya, malah membangkitkan rasa kagum dalam kalangan penyokong tempatan yang menyanjung tinggi pengorbanan luar biasa itu.

Lebih mengagumkan, meskipun umum mengetahui bahawa Holgado tidak memiliki waktu rehat yang mencukupi selepas penerbangan jauh tersebut, beliau tetap tampil menggalas tanggungjawab sebagai pemain kesebelasan utama dalam perlawanan penting berkenaan.

Semangat kental Holgado turut diuji apabila kepalanya mengalami kecederaan dalam satu pertembungan dengan pemain Vietnam sepanjang perlawanan berlangsung. Insiden itu menyaksikan bahagian kepalanya ‘bocor’ akibat perlanggaran tersebut, namun beliau tetap meneruskan aksi dengan penuh semangat juang.

Lebih manis, pemain kelab America de Cali itu turut berjaya mencatat nama selaku penjaring apabila meledak gol penting buat Malaysia pada minit ke-59. Gol tersebut bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Harimau Malaya dalam perlawanan itu, malah menyumbang kepada kemenangan bergaya 4-0 ke atas musuh tradisi Asia Tenggara tersebut.

Selepas tamat perlawanan, Holgado menerima beberapa jahitan di bahagian kepalanya berikutan kecederaan yang dialami. Namun begitu, pengorbanan pemain berusia 29 tahun itu tidak berakhir di situ.

Tidak sampai 24 jam selepas perlawanan tamat, Holgado terpaksa melalui satu lagi penerbangan panjang selama 30 jam untuk kembali ke Colombia bagi meneruskan komitmennya bersama kelabnya dalam saingan liga tempatan.

Setibanya di sana, tanpa menunggu lama, Holgado terus menyertai skuad America de Cali untuk perlawanan menentang Deportes Tolima dalam aksi Primera A. Walaupun baru sahaja pulih daripada kecederaan dan keletihan akibat perjalanan jauh, beliau tetap diturunkan sebagai pemain gantian selepas waktu rehat.

Apa yang lebih menyentuh hati ialah kesungguhan Holgado untuk mencuri masa bagi menghadiri majlis istimewa anugerah anak lelakinya, walaupun berada dalam jadual yang amat padat. Dalam satu kiriman di laman Instagram Story yang dimuat naik sejurus selepas perlawanan bersama kelabnya, Holgado berkongsi momen indah itu dengan menulis:

“Bangga dengan kamu anakku.”

Kiriman ringkas tetapi penuh bermakna itu sekali lagi menyerlahkan sisi peribadi Holgado sebagai seorang ayah yang penyayang dan individu yang tidak melupakan tanggungjawab keluarga di sebalik komitmen profesionalnya sebagai pemain bola sepak.

Pengorbanan yang ditunjukkan oleh Holgado jelas membuktikan keikhlasannya dalam menyarung jersi kebangsaan, dan memberikan inspirasi bukan sahaja kepada rakan sepasukan tetapi juga kepada seluruh peminat bola sepak Malaysia.

Dalam konteks lebih luas, kisah Holgado ini mencerminkan usaha serius yang sedang digerakkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memperkukuhkan skuad Harimau Malaya menerusi penglibatan pemain-pemain warisan yang memiliki komitmen tinggi terhadap negara.

Keputusan membawa masuk pemain seperti Holgado bukan sahaja didasarkan kepada kemampuan teknikal di atas padang, tetapi turut mengambil kira sikap profesionalisme, semangat berpasukan serta keazaman untuk meletakkan nama Malaysia di pentas lebih tinggi.

Sebagai rekod, Harimau Malaya kini berada dalam kedudukan terbaik dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027, selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan F – menewaskan Nepal 2-0 dan Vietnam 4-0.

Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke kejohanan berprestij di Arab Saudi itu, dan dengan prestasi semasa yang memberangsangkan serta semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh pemain seperti Holgado, harapan untuk melihat Malaysia layak secara merit tampak semakin cerah.

Terima kasih, Holgado – atas segala curahan tenaga dan semangat yang telah anda berikan demi Harimau Malaya.